
KUCHING: Penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo akan menjadi pemangkin utama dalam memacu ekonomi Sarawak terutamanya dalam industri pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata AirBorneo juga akan memberi impak yang positif terutamanya dari segi saingan sihat kepada syarikat penerbangan lain.
“Dengan adanya syarikat penerbangan kita sendiri, sudah semestinya ia memberi berita gembira kepada rakyat Sarawak termasuk kementerian kita yang mengendalikan banyak program pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung datang ke Sarawak.
“Justeru, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) juga akan bekerjasama rapat dengan AirBorneo untuk merangka pakej-pakej pelancongan dan percutian dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak 2025 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya dengan kewujudan AirBorneo, Sarawak kini mempunyai kawalan penuh terhadap laluan penerbangan dan strategi pemasaran tanpa perlu bergantung kepada syarikat penerbangan lain.
“Sebelum ini, kita tidak berupaya menentukan sendiri laluan dan strategi pemasaran. Kini, dengan adanya AirBorneo, kita berupaya untuk membuat keputusan tersendiri.
“Buat masa ini, kita masih mengekalkan laluan sedia ada seperti yang dikendalikan MASwings, tetapi pada masa akan datang, kita akan memperluaskan destinasi dan meningkatkan perkhidmatan,” tambahnya.
Sementara itu, katanya, AirBorneo juga akan memberi banyak manfaat kepada para pengguna khususnya dari segi perkhidmatan dan juga pilihan yang tidak terhad kepada satu syarikat penerbangan sahaja.
Jelasnya, ia akan mewujudkan saingan secara sihat antara syarikat penerbangan dalam menyediakan servis, tambang yang lebih kompetitif dan tawaran yang lebih baik kepada para pelanggan.
Oleh Rynna Sha’erra