KUANTAN: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berangkat menghadiri Majlis Santapan dan Silaturahim bersama Jamaah Rabithah Alawiyyah Pahang di sebuah resort terkemuka di Teluk Cempedak, malam tadi.
Majlis ini turut dihadiri Exco Hal Ehwal Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad Al-Yahya, dan isteri, Datin Sri Sharifah Farunai Syed Ahmad Al-Yahya.
Hadir sama ialah Pengerusi Rabithah Alawiyyah Pahang Dato’ Syed Nasaruddin Syed Abdul Hadi Al-Baity, Setiausaha Rabithah Alawiyyah Pahang Tuan Syed Abu Bakar Syed Hamzah Al-Yahya, dan Pengarah Bersama Program Tuan Syed Badrulzaman Syed Zakariah Al-Yahya
Majlis turut diserikan dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga besar Rabithah Alawiyyah Pahang.
Rabithah Alawiyyah Pahang, yang pada asalnya dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Asyraaf Pahang, ditubuhkan pada 2005 sebelum bergabung dengan Pertubuhan Rabithah Alawiyyah Malaysia pada 2022.
Pertubuhan ini berperanan dalam menjaga kebajikan serta mendokumentasikan silsilah nasab saadah Syed dan Syarifah di Pahang.
Majlis ini menjadi platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim, bertukar pandangan, dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan hal ehwal Islam di peringkat negeri serta nasional.
Tun Wan Junaidi menzahirkan apresiasi kepada pihak penganjur serta berharap agar jaringan kerjasama dan hubungan persaudaraan yang terjalin terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Terdahulu, pada sebelah pagi hari sama, Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah telah diperkenankan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota.
Berangkat sama ialah Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.
Turut serta ialah Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Raja Puteri Suraiya Afzan Dato’ Indera Mohamed Moiz serta Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pertemuan itu, pelbagai perkara dibincangkan, termasuk hal ehwal semasa serta kerjasama dua hala yang boleh dimanfaatkan bersama oleh kedua-dua negeri.
Kunjungan tersebut berlangsung selama satu jam dan diakhiri dengan majlis makan tengah hari dalam suasana santai.
Sempena menghadap, Tun Wan Junaidi menjunjung kasih atas limpah perkenan KDYMM Tuanku serta mendoakan agar KDYMM Al-Sultan Abdullah dan seluruh keluarga dirahmati kesihatan, dipermudahkan segala urusan pemerintahan, dan semoga Negeri Pahang terus maju serta makmur.