

SARIKEI: Rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) pihak bomba tertumpu di tiga kawasan rendah berisiko banjir di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, ia melibatkan kawasan di Terminal Ekspres 1, Terminal Ekspres 2 dan tebingan sungai Sarikei.
“Rondaan pemantauan mengambil masa dalam tempoh lebih kurang 50 minit.
“Dua anggota bomba bertugas mula menjalankan pemantauan pada 8.40 malam hingga 9.30 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, keadaan paras air di kawasan yang dipantau adalah terkawal.
“Air surut dan cuaca baik semasa anggota bomba menjalankan rondaan pemantauan.
“Tiada sebarang panggilan kecemasan diterima sepanjang rondaan pemantauan dijalankan oleh anggota bomba,” katanya.
Oleh Earl Anek