
Syafinaz Deng, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) diterbangkan oleh juruterbang Kapten James Dario menggunakan helikopter Airbus EC135 milik Hornbill Skyways dari kampungnya Apau Nyaring petang ini. Foto/video UKAS
MIRI: Misi penerbangan ihsan penghantaran pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM, Syafinaz Deng dengan helikopter Airbus EC135 milik Hornbill Skyways dilakukan petang ini.
Syafinaz Deng, pelajar dari SMK Marudi diterbangkan khas oleh juruterbang Kapten James Dario Canero dari Apau Nyaring iaitu sebuah kawasan di pedalaman Miri ke Lapangan Terbang Marudi jam 4.32 petang tadi bagi menduduki peperiksaan pada Isnin ini.
Menurut Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beluru, terdahulu helikopter ini telah menghantar bantuan pek makanan kering kepada penduduk Apau Nyaring yang terputus hubungan selama dua minggu susulan insiden jalan raya yang telah runtuh.
“Oleh itu, pihak kampung telah memohon bantuan daripada juruterbang helikopter Hornbill Skyways tersebut agar membantu menghantar pelajar ini ke SMK Marudi di Marudi untuk menduduki peperiksaan STPM semasa helikopter dalam perjalanan balik ke Miri,” katanya.
Beliau turut menambah, misi penghantaran bantuan ke Apau Nyaring akan selesai esok yang akan memberi manfaat kepada seramai 276 orang penduduk komuniti Penan di situ.
Syafinaz telah dihantar oleh ibu bapanya sebelum menaiki helikopter berkenaan dan setibanya di Marudi jam 5.10 petang Syafinaz disambut oleh pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Baram.