JULAU: Bahagian belakang dapur sebuah rumah persendirian di Taman Mau Sing di sini terjejas akibat tanah runtuh, malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor Mahmudin Narudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 10.38 malam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, tiga orang anggota bomba diketuai Komander Operasi Herman Basa bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati tanah runtuh menyebabkan runtuhan bahagian belakang dapur rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, rumah tersebut didiami seramai 14 orang penghuni dan anggaran runtuhan tanah adalah 4×3 meter persegi.
“Komander operasi mengarahkan anggota bomba memasang tali sawar-sawar.
“Penghuni rumah turut dinasihati agar sentiasa berhati-hati.
“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada 12.13 tengah malam,” katanya.
Oleh Earl Anek