SIBU: Kerajaan Sarawak akan membincangkan peruntukan khas tambahan untuk membantu meringankan bebanan dihadapi rakyat yang terjejas akibat bencana banjir.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah menerima maklum balas bahawa peruntukan RM10 juta yang telah diumumkan sebelum ini berkemungkinan tidak mencukupi.
“Saya baru mendapat maklum balas bahawa peruntukan yang telah diberikan masih tidak mencukupi.
“Saya akan membawa perkara in kepada Kabinet Sarawak agar mereka yang memerlukan kita dapat terus mengurangkan bebanan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Abang Johari turut melahirkan perasaan simpati kepada mangsa insiden tanah runtuh di Miri dan mangsa banjir di Bintulu.
“Kami bersimpati terhadap mangsa insiden tanah runtuh di Miri dan kami telah melawat mereka. Di kawasan Dato Sri Tiong (Dato Sri Tiong King Sing) di Bintulu, kita bersimpati terhadap mangsa banjir.
“Menurut Tiong, sejak lebih 30 tahun, kini Bintulu banjir lagi. Kita juga diberi taklimat, dimana Bintulu satu tahun menerima taburan hujan lebih kurang 100 milimeter hujan, pada hari itu Bintulu menerima 900 milimeter taburan hujan. Dan di Kuching, Serian, kita juga ada banjir besar,” katanya.
Terdahulu, semasa lawatan ke Miri Jumaat lalu, Abang Johari meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk JPBN Negeri Sarawak bagi memudahkan usaha bantuan mangsa banjir.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari juga berharap kedatangan Tahun Ular ini akan membawakan tuah yang terbaik kepada Sarawak ke arah menuju negeri maju menjelang 2030.
“Tahun 2024 adalah tahun yang baik untuk Sarawak termasuk dari segi ekonomi, kita punya pendapatan telah bertambah.
“Ada orang cakap kalau air banyak datang, wang pun banyak datang. Tahun 2025, Sarawak fokus kepada ekonomi baru, tenaga hujau,” katanya.
Beliau juga menyambut baik usaha Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing untuk mempromosi pelancongan Sarawak.
“Tidak lama lagi kita mengambil alih MASWing. Kita sudah berjaya mengambil alih Empangan Hidroelektrik Bakun, kita juga sudah berjaya mengambil alih bank.
“Semua ini dapat dilakukan dengan ekonomi yang kukuh. Masyarakat Cina adalah orang yang pandai dalam ekonomi, kita berharap dapat meneruskan usaha membangunkan ekonomi bersama mereka,” katanya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing; Menteri Utiliti dan Komunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Presiden UCA Sibu Lau Ing Siong.
Oleh AKUN GIMAN