![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_9873-1024x671.png)
Abang Johari Tun Openg menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Bintulu. Foto UKAS
BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, termasuk agensi kerajaan, pasukan penyelamat, serta sektor swasta yang tampil menghulurkan bantuan.
Beliau memuji keprihatinan syarikat-syarikat korporat yang menyumbang bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) yang menyumbang RM600,000 dan sebuah syarikat di Miri yang menyalurkan bantuan RM300,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari turut menghargai usaha luar biasa pasukan penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta pihak berkuasa tempatan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyat yang turun padang untuk membantu masyarakat dalam situasi yang mencabar ini,” katanya.
Seiring dengan usaha bantuan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak telah memperuntuk RM10 juta kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi mempercepat bantuan kepada kawasan yang terjejas.
“Semalam, kita telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta.
“Jika jumlah ini tidak mencukupi, kita akan tambah berdasarkan keperluan di seluruh Sarawak,” katanya yang memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan membiarkan rakyat menghadapi kesukaran tanpa bantuan sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar keadaan kembali pulih secepat mungkin dan menegaskan bahawa pasca banjir akan disusuli dengan langkah pemulihan yang tersusun.
“Selepas air surut, kita akan melakukan audit untuk menentukan tindakan yang perlu diambil bagi memastikan semua infrastruktur dan keperluan asas rakyat dipulihkan dengan segera,” tambahnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan cuaca kembali stabil dalam tempoh seminggu, dan kerajaan negeri akan terus memantau situasi bagi memastikan pemulihan berjalan lancar.
Oleh Carolyne Utih