![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/6118187643821999075-1000x563.jpg)
SERIAN: Bencana banjir yang melanda Sarawak sejak enam hari lalu mula surut, dengan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditutup setakat pagi tadi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keadaan di kawasan banjir mula terkawal, malah ada yang sudah memulakan kerja-kerja pembersihan.
“Dua PPS di Bau telah ditutup dan sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (LPB), yang semalam dilanda air banjir, hari ini tidak lagi mengalami limpahan air di atas jalan raya.
“Di Bintulu, air mulai surut seperti yang dimaklumkan oleh Residen Bintulu, yang turut menghantar gambar kepada saya.
“Keadaan kini semakin pulih dan mereka bersiap sedia untuk memulakan kerja-kerja pembersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Ranchan di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, jumlah mangsa di PPS di tujuh bahagian wilayah ini setakat semalam meningkat.
“Setakat semalam, kita ada 63 PPS telah dibuka di tujuh bahagian seluruh Sarawak dan jumlah isi rumah yang telah dipindahkan ialah 3,696 dengan jumlah keseluruhan mangsa ialah 12,692 orang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa JPBNS akan terus bekerjasama dengan agensi tindakan bagi memantau keadaan banjir di seluruh Sarawak.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.
Oleh Mohd Neenatul Aizal