BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) tampil menghulurkan bantuan awal kecemasan kepada 15 pelajar luar kampus yang terjejas akibat banjir di sekitar Bintulu.
Menurut jurucakap UPMKB menerusi satu kenyataan, bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB Mohamad Syukri Mohamad Adnan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan universiti terhadap kebajikan pelajar yang terkesan.
Syukri dalam kenyataan itu berkata, bantuan awal kecemasan itu diadakan bertujuan untuk meringankan beban para pelajar yang terjejas akibat banjir.
“Kami ingin memastikan pelajar yang terjejas akibat banjir tidak berasa terpinggir dan tahu bahawa universiti sentiasa di sisi mereka,” katanya.
Bantuan yang diberikan termasuk bekalan makanan asas dan sumbangan wang tunai.
Program itu turut disertai oleh sembilan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPMKB, Putra President Union, serta kakitangan Pejabat Pengurusan Pelajar.
Naib Yang Dipertua (NYDP) MPP UPM, Sarah Hannani Ahmad Fikri berkata, bantuan seumpama itu adalah bukti bahawa UPMKB sentiasa prihatin dan sedia membantu pelajar dalam apa jua keadaan.
Salah seorang penerima bantuan, Hud Aqeel Abdullah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima.
“Sumbangan ini membantu keluarga saya menampung keperluan asas semasa kami menghadapi kesulitan akibat banjir.
“Saya amat berterima kasih kepada UPMKB dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Banjir yang melanda Bintulu baru-baru ini telah menjejaskan ramai penduduk, termasuk pelajar UPMKB.
Dengan bantuan itu, pelajar yang terkesan diharapkan dapat menghadapi cabaran dengan lebih tenang dan meneruskan pengajian mereka seperti biasa.
Oleh Carolyne Utih