![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9674.jpeg)
SEDIA.... Pasukan 9 RS telah diatur gerak bagi membantu operasi banjir di kawasan terjejas banjir, khususnya di Daerah Kanowit.
SIBU: Pasukan Batalion Kesembilan Rejimen Sempadan (9 RS) telah diatur gerak bagi membantu operasi banjir di kawasan tanggungjawab (KTJ) Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) menerusi Op MURNI 2025.
Menurut kenyataan media 9 RS hari ini, pasukan bertindak sebagai pasukan sokongan bersama aset bantuan perairan dan kenderaan telah dikerahkan sejak 29 Januari lalu bagi membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kawasan terjejas banjir, khususnya di Daerah Kanowit.
Kenyataan itu berkata, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terlibat dalam operasi ini ialah PPS Dewan Serbaguna Penghulu Seribu Ng Tada dan PPS Dewan Kompleks Sukan, Kanowit.
“Antara tugas utama pasukan yang diatur gerak termasuk meninjau paras air, membantu memindahkan mangsa ke PPS berdekatan serta menyalurkan bantuan ke penempatan yang terputus hubungan akibat bencana,” katanya kenyataan itu.
Pegawai Memerintah 9 RS, Leftenan Kolonel Fathi Abu Bakar turut turun padang meninjau situasi di PPS Kompleks Sukan Kanowit.
Beliau menekankan kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan kepada anggota sepanjang operasi, selain menasihatkan mereka agar sentiasa menerapkan nilai-nilai murni serta menghormati adat dan budaya penduduk setempat.
Dalam lawatan sama, beliau turut melawat Bilik Gerakan APM Daerah Sibu bagi menyelaraskan bantuan dan mendengar taklimat mengenai situasi semasa daripada wakil APM, Kapten (PA) Yunus Ajol.