KUCHING: Sebuah tapak glamping yang diperkenalkan di Damai Central sejak pertengahan 2024 semakin mendapat sambutan positif dalam kalangan pengunjung dan peminat aktiviti perkhemahan.
Program ini dikendalikan oleh Damai Escape Park dengan objektif utama untuk menghidupkan kembali kawasan Damai sebagai destinasi pelancongan serta memberikan pengalaman berkhemah yang selesa dan selamat kepada pengunjung.
Menurut Moderator Program, Abang Nawawi Bolhassan @ Bigboy, ilham untuk memulakan tapak glamping ini tercetus selepas perbincangan bersama Kampung Budaya Sarawak (SCV), yang mencadangkan penubuhan tapak perkhemahan di Damai Central.
Percubaan pertama diadakan bagi menilai potensi kawasan tersebut dan hasilnya mendapati lokasi itu sesuai untuk aktiviti berkenaan.
“Kami memulakan operasi secara rasmi pada Jun 2024 selepas penganjuran Program Raya Glamping.
“Pada waktu itu, kami berjaya membawa masuk 38 khemah dalam kawasan terhad dan program tersebut mendapat sambutan baik.
“Sehingga kini, maklum balas daripada orang ramai amat menggalakkan, terutama dengan promosi melalui media sosial serta perkongsian daripada para pengunjung,” katanya ketika ditemubual di Damai Central, hari ini.
Jelasnya, tapak perkhemahan ini menawarkan pelbagai kemudahan asas termasuk bekalan air, tenaga elektrik dan tandas bagi memastikan keselesaan pengunjung.
Selain itu, katanya, kawalan keselamatan turut diperketatkan bagi menjamin keselamatan semua tetamu. Pengunjung boleh membawa khemah sendiri atau menyewa khemah yang disediakan.
Dalam usaha meningkatkan daya tarikan, pihak pengurusan turut bekerjasama dengan SCV serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan pelbagai program yang menghimpunkan pengunjung sekurang-kurangnya dua kali sebulan.
Antara aktiviti yang boleh dinikmati oleh tetamu termasuk barbeku, aktiviti kekeluargaan, memancing serta pertandingan mini yang bertujuan merapatkan hubungan antara peserta.
Bagaimanapun, Abang Nawawi mengakui bahawa terdapat cabaran dalam mengendalikan tapak glamping ini, khususnya faktor cuaca serta ancaman haiwan dan serangga berbisa seperti ular, kala jengking, lipan dan semut merah.
“Kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyembur bahan kimia di kawasan berisiko dan menyalakan unggun api bagi mengurangkan ancaman tersebut,” jelasnya.
Dalam perancangan masa hadapan, pihak pengurusan merancang untuk memperluaskan kawasan tapak perkhemahan bagi memberikan pengalaman yang lebih pelbagai kepada pengunjung.
Sementara itu, terdapat juga perancangan untuk menganjurkan acara perkhemahan bertaraf antarabangsa bagi menarik penyertaan daripada peminat aktiviti perkhemahan di seluruh dunia.
“Objektif utama kami adalah untuk meningkatkan pendapatan komuniti setempat, menarik lebih ramai pelancong serta berkongsi teknologi baharu dalam industri perkhemahan dan glamping bagi memperkukuh pasaran aktiviti ini,” tambahnya.
Dengan usaha berterusan dan sokongan daripada pelbagai pihak, Damai Escape Park berpotensi menjadi salah satu destinasi glamping utama di Sarawak.
Oleh Amanda L.