MIRI: Lima seisi keluarga terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, awal pagi tadi, menjadikan tragedi ini antara yang paling buruk pernah berlaku di kawasan berkenaan.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Fatimah Dawi, 71; Sazarena Arabi, 41; Irsyad Syairah, 16; Nur Rania Syafiqah, 11; dan Nur Raisyah Syahirah, 8. Kesemua mereka tinggal serumah.
Dua penghuni rumah yang terselamat dalam kejadian itu ialah Nur Irsalina Syairah, 17, dan Arabi Samsudin, 71.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.58 pagi tadi sebelum menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi.
“Selain lima yang maut, tujuh lagi mangsa terselamat, termasuk seorang yang mengalami kecederaan ringan pada kaki kiri. Mangsa yang terselamat ialah Muhammad Mahmud, 60, Massahan Mustafa, 58, Nur Afiqah, 29, Nur Athirah Nabinah, 29 dan Nur Aqilah Nadirah, 18,”katanya dalam satu kenyataan.
Tragedi ini mengingatkan penduduk kepada dua insiden tanah runtuh sebelum ini di Kampung Lereng Bukit.
Pada 16 Januari 2009, dua pekerja stesen minyak maut selepas tertimbus dalam runtuhan, manakala pada 23 Januari 2014, satu lagi kejadian tanah runtuh memaksa 16 penghuni berpindah dari kediaman mereka.
Oleh SHAHRUL QAIZAT