KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini menjadi tumpuan ribuan tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) peringkat negeri anjuran kerajaan Sarawak.
Bermula dari 8.45 pagi hingga 2.00 petang, acara penuh meriah itu mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Majlis penuh warna-warni ini turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang, serta para tetamu kehormat menzahirkan sokongan terhadap tradisi perayaan yang mengukuhkan perpaduan rakyat.
Kemeriahan semakin menyerlah dengan persembahan kebudayaan yang menghiburkan, termasuk tarian singa yang bertenaga diiringi alunan gendang dan gong.
Selain itu, persembahan istimewa daripada Oriental Chinese Orchestra dan artis tempatan seperti Valerie Thiam, Ng Chien Chien, Ivando, Roxy Ixzy, dan Hafizah turut mencuri perhatian, menjadikan majlis ini lebih berwarna-warni dengan gabungan muzik dan seni pelbagai budaya.
Bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menyaksikan kemeriahan sambutan, majlis ini turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook dan saluran YouTube Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Menerusi penganjuran rumah terbuka ini, Sarawak terus memperkukuh semangat perpaduan dalam kepelbagaian, menjadikan negeri ini contoh harmoni bagi seluruh Malaysia.
Oleh Amanda L.