KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii mengadakan lawatan ke Pos Laju untuk memantau perkhidmatan yang diberikan serta memberi maklum balas oleh orang awam untuk memperbaiki perkhidmatan.
Beliau berkata, sejak lawatannya sebelum ini, perkhidmatan Pos Laju telah diperbaiki yang mana barisan menunggu telah dapat dikurangkan.
“Ini juga kerana Pos Laju telah mengambil lebih ramai penghantar termasuk mereka yang bekerja sambilan untuk menghantar bungkusan.
“Pos Laju juga telah mendirikan khemah supaya orang awam tidak perlu berbaris panjang di bawah cuaca panas.
“Walaupun demikian, kita juga memberi maklum balas berkenaan dengan aduan orang awam untuk memperbaiki perkhidmatan yang diberi serta masa menunggu,” kata Dr. Yii.
Pada masa sekarang, Dr. Yii berkata, penghantaran bungkusan mengambil masa yang agak lama akibat banyak bungkusan dihantar ke Sarawak dan juga isu logistik yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bertambahnya jumlah penerbangan sekarang, Pos Laju akan dapat memperbaiki lagi perkhidmatan penghantaran.
“Masa menunggu untuk bungkusan adalah kira-kira empat hingga lima hari sekarang berbanding dengan semasa PKP yang mengambil masa yang lebih panjang.
“Saya berharap pihak Pos Laju akan dapat menyingkatkan lagi masa penghantaran kepada sehari atau dua hari,” tambah beliau sambil berkata, beliau akan membuat pemantauan lagi.