ENAM tahun bergerak solo, penyanyi Naqiu masih belum berjaya mencipta magis mengukuhkan jenamanya biarpun sudah mengeluarkan tujuh single sejak kemunculan semula selepas dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim keenam.
Hingga ke hari ini pemilik nama Wan Naqiuddin Mohd Najib, 38, ini masih dikenali sebagai vokalis kumpulan Boboy yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 2000 dengan lagu meruntun jiwa sebaris band popular lain seperti New Boyz dan Spin.
Justeru, tidak menghairankan jika anak kelahiran Skudai, Johor yang juga komposer ini sering kali diminta mendendangkan lagu yang pernah menjadi kegilaan ramai bersama kumpulannya itu antaranya, Episod Cinta, Dalam Benci Ada Rindu dalam persembahannya.
Mengakui tidak ada masalah dengan perkara tersebut kerana lagu-lagu itu juga yang menaikkan namanya bersama Boboy, namun sebagai anak seni Naqiu mahukan kelainan dalam perjalanan kariernya sebagai penyanyi solo seiring dengan peningkatan usianya.
Disebabkan itulah, penyanyi dan juga pelakon ini menaruh harapan begitu tinggi terhadap single kelapannya berjudul Khayalan dalam mengukuhkan lagi jenamanya selain meneroka lembaran baharu sekali gus menjadi kayu pengukur untuknya kekal relevan.
USAHA CARI PENAMBAHBAIKAN
“Walaupun saya terus membawa lagu-lagu sebegitu, saya tidak mahu muzik saya pada 2025 terdengar seperti lagu leleh saya pada 2001. Saya sentiasa berusaha mencari penambahbaikan dan inovasi dalam setiap karya kerana sedar sebagai seniman, perlu terus bergerak maju ke depan.
“Ini juga sebagai langkah anak seni untuk mampu bersaing secara sihat dengan penggiat seni muda hari ini. Itu sebabnya, saya terus mencuba mengeluarkan lagu baharu,” kata pelantun lagu Kisah Hati Lara ini yang ditemui selepas pelancaran single terbaharunya baru-baru ini.
Menyifatkan karya kelapannya itu sungguh istimewa, anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak menyangka impiannya untuk bekerjasama dengan komposer terkenal Mohd Faizal Maas atau Ajai akhirnya berjaya direalisasikan selepas dua dekad dalam persada seni tanah air.
Masih kekal dengan genre balada, pop, lagu Khayalan yang dirakamkan sekitar Julai dan Ogos tahun lepas dan sudah mula berkumandang di semua platform digital sejak Rabu, Naqiu berkata karya itu telah lama disimpan Ajai yang sebelum ini merupakan pemain keyboard kumpulan terkenal, Exists.
“Saya sangat berbesar hati apabila dapat bekerja dengan individu yang hebat. Bahkan, saya juga antara peminat setia Exists dan (bekerjasama dengannya) adalah sebahagian daripada impian saya sebagai penyanyi.
JATUH CINTA PADA MELODI
“Jadi, sebaik mendengar lagu Khayalan, saya terus jatuh cinta dengan melodi dan chorusnya dan tanpa ragu-ragu, saya terus bersetuju untuk merakamkannya,” katanya sambil menambah Ajai sangat mementingkan ketelitian dalam memastikan karyanya itu dapat diterjemahkan dengan sempurna.
Ini menurut Naqiu dapat dilihat apabila proses rakaman untuk satu verse atau rangkap lagu sahaja sudah memakan masa selama dua jam sebelum mendapat kepuasan dari komposer prolifik ini untuk mara ke verse seterusnya.
“Walaupun sudah 24 tahun dalam industri dan telah merakam banyak lagu, kali ini proses rakaman berbeza. Ajai begitu hemat dan tidak mahu bergantung kepada elemen digital berlebihan, sebaliknya mahukan perasaan dan intonasi yang tepat sampai kepada pendengar.
“Daripada pengalaman ini, saya memperoleh satu pelajaran berharga tentang pentingnya kesabaran dalam menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya. – Bernama