
MEMANG tidak berjalan seperti format ‘biasa-biasa’ sebuah rancangan program realiti televisyen yang lain, Calpis Soda One In A Million terus menumbuhkan kepercayaan kepada penonton bahawa yang dicari dalam sebuah pertandingan meski bersifat popular adalah kualiti.
Itu yang kekal konsisten dipertontonkan sejak episod pertama program yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta apabila tiada penyingkiran berlaku pada episod minggu kelima yang mana pada episod perdana telah menyingkirkan enam peserta dan memilih 14 lainnya perlu berjuang untuk menjadi juara.
Seperti menaiki roller coaster, perasaan para peserta dibiarkan keresahan dan gundah apabila minggu keempat juri menyingkirkan dua peserta iaitu Rezza Shah dan Alya serentak ditunjukkan jalan pulang.






Sebelum minggu kelima yang membawa konsep Evolusi AJL menyaksikan enam peserta iaitu Jimi, Zazleen, Eylia Guntabid, Siti Mariam, Kai Deva dan Mary Grace diumumkan untuk terus bertempur pada minggu keenam.
Melihat konsistensi Jimi yang berduet dengan lagenda Misha Omar dan menerima pujian melambung daripada Cakra Khan atau Zazleen dengan stail tersendiri serta bagaimana Mary Grace, Eylia Guntabid dan Siti Mariam terus tampil dengan persembahan bertenaga lalu Kai Deva, satu-satunya peserta yang mencuri hati peminat dengan gaya sederhana tetapi mempunyai sesuatu untuk terus kekal, semua harus bersetuju dengan keputusan sebulat suara juri.
Kuasa 60 peratus pemarkahan di tangan juri umpama memberi imuniti secara tidak langsung kepada enam peserta sekaligus ‘mematikan’ keinginan 40 peratus peminat yang mahu melihat ada penyingkiran.
Tentu sahaja keputusan ini bukan hanya melegakan hati peserta tetapi pada masa sama perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi pada minggu hadapan.
Tentu sahaja juga keputusan mengekalkan enam peserta berentap lagi adalah satu indikasi mereka perlu mempamerkan kualiti dan kecemerlangan tanpa henti kerana penjurian akan menjadi lebih sulit dengan banyak kriteria yang lebih terperinci dicari oleh para juri.
Setakat menyanyi, enam peserta ini ‘lulus’. Begitu juga menari, meski ada yang kekok tetapi dapat ditutup dengan kegigihan berlatih dan memberi sehabis baik.
Namun apa faktor X yang boleh terus dibawakan oleh Jimi, Zazleen, Eylia Guntabid, Siti Mariam, Kai Deva dan Marygrace untuk memastikan mereka menuju garis penamat dengan sesuatu yang berbaloi? Itu yang perlu difikirkan oleh para peserta menerusi penampilan pada pertandingan minggu kelima.
Juga siapa dalam kalangan enam peserta ini akan berduet dengan penghibur tanah air yang sudah mencipta nama dalam gelanggang hiburan.
Mampukah Jimi, Zazleen, Eylia Guntabid, Siti Mariam, Kai Deva dan Mary Grace tidak canggung dan tidak ‘terbunuh’ serta menjadi duo yang penuh sinergi bersama enam penyanyi hebat Malaysia iaitu Marsha Milan, Shiha, Aisha Retno, Amir Masdi, Haqiem Rosli dan Khai Bahar?
Kerana membuat persembahan seorang diri dalam pertandingan Calpis Soda One In A Million ini adalah perjuangan awal membuktikan kemampuan diri tetapi ‘bergaul’ dan mampu ‘berhidup’ dengan seluruh dunia hiburan ini termasuk menjalin kolaborasi dengan penyanyi lain adalah antara perkara yang menjadi kunci seseorang pelaku seni kekal dan relevan untuk satu tempoh panjang nanti.
Dengan tema ‘Saling Menyengat, Fizz Sangat!’ minggu hadapan, menariknya, setiap peserta akan berduet dengan penyanyi terkenal seperti Marsha Milan, Shiha Zikir, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Aisha Retno, dan Amir Masdi.
Persoalannya, siapakah yang akan berduet dengan siapa? Nantikan pengumuman ini pastinya di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan ikuti perkembangan terkini tentang kesemua peserta Top 6 CSOIAM.