SARIKEI: Seramai 13 penumpang termasuk pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan dari Sibu ke Kuching mengalami detik cemas apabila bas mengalami kerosakan teknikal pada bahagian brek hadapan lalu mengeluarkan asap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, tindakan pantas dari pemandu bas berjaya mengekang bas tersebut dari mengalami kebakaran yang lebih serius.
“Kejadian berlaku di Jalan Kwong Ming. Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.53 pagi.
“Tindakan awal pemandu bas telah menggunakan satu alat pemadam api jenis debu kering bagi mengawal dari berlakunya kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Katanya, seramai 10 anggota bomba diketuai oleh PBK II Mijan Pamin bergerak ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, satu aliran salur bantu mula bagi memastikan keadaan terkawal. “Operasi tamat pada jam 10.21 pagi. Pemandu bas dan semua penumpang bas tersebut tiada mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Oleh Earl Anek