SIMANGGANG: Sebanyak RM1.11 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 15 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata peruntukan tersebut adalah merupakan jumlah keseluruhan daripada peruntukan RM2.5 juta RTP DUN Engkilili yang akan dilaksanakan secara bergotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Projek-projek yang bakal dilaksanakan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan infrastruktur, tetapi juga menggalakkan penglibatan aktif daripada masyarakat setempat, bagi memastikan manfaatnya dirasai oleh semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan RTP menerusi kaedah gotong-royong bagi kawasan DUN Engkilili di Bilik Mesyuarat Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman, hari ini.
Seramai 15 tuai rumah dari kawasan DUN Engkilili yang terlibat secara langsung dalam projek-projek ini, turut hadir ke mesyuarat tersebut.
Dr Johnical turut menekankan kepentingan kaedah pelaksanaan projek menerusi kaedah gotong-royong dalam melaksanakan projek-projek terbabit, yang antara lain bertujuan untuk memupuk penglibatan dan usaha bersama masyarakat setempat.
Mesyuarat tersebut juga menyediakan platform kepada tuai-tuai rumah dan pegawai daripada agensi pelaksana untuk bertukar pendapat dan membincangkan isu-isu yang dihadapi, bagi memastikan projek RTP dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
“Dengan semangat gotong-royong yang menjadi teras kepada inisiatif ini, projek-projek tersebut dijangka dapat memperkukuhkan infrastruktur tempatan sambil mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya lagi.
Turut hadir, Jurutera JKR Bahagian Sri Aman Azira Ahmad, Penolong Residen Bahagian Sri Aman Jackline Medan Ikom, dan Pegawai Pengurus Agensi Pelaksana JKR Daerah Lubok Antu Jeffrey Tinggom.
Oleh Adi Safarman