PETRA JAYA: Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2025 (SUITEX 2025) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara ini akan berlangsung pada 21 hingga 23 Februari depan, bertempat di Mydin Petra Jaya, dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
“SUITEX 2025 menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai pakej umrah, haji, dan pelancongan Islam. Saya percaya ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai niat untuk menunaikan umrah dan haji.
“Acara ini memberikan peluang kepada mereka untuk bertanya serta mendapatkan maklumat daripada agensi yang berpengalaman dan arif dalam bidang tersebut.
“Menerusi penganjuran SUITEX2025, mereka yang berminat juga berpeluang untuk membuat pendaftaran secara langsung dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pakej yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran SUITEX25 di Bangunan Bitulmakmur II di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, orang ramai yang berminat digalakkan untuk mengunjungi ekspo ini bagi mendapatkan pendedahan mengenai agensi umrah, haji, dan pelancongan Islam yang berlesen.
“SUITEX2025 mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan Islamik,” katanya.
Dalam pada itu, pengunjung bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhan RM100,000.
Antara hadiah yang disediakan termasuk pakej umrah percuma untuk enam orang pengunjung bertuah yang ditaja oleh agensi-agensi berlesen di bawah naungan SUHA.
Pengunjung juga berpeluang memenangi baucar diskaun untuk pakej umrah serta bekalan air Zam-Zam yang ditaja oleh syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah SUHA.
Oleh Mohd Neenatul Aizal