SARIKEI: Setakat Januari 2025, jumlah kakitangan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) adalah seramai 1,085 orang.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berata, daripada jumlah kakitangan tersebut, seramai 582 orang berkhidmat di ibu pejabat JHS, manakala 503 orang berkhidmat di lapan Pejabat Hutan Wilayah.
“Pada penghujung 2024, seramai 127 pelantikan baharu telah dibuat yang terdiri daripada 13 profesional dan pengurusan, dan 114 pelaksana.
“Pada Januari 2025 ini, seramai 20 pelaksana yang baharu telah dilantik untuk berkhidmat di JHS.
“Kita juga menjangkaan seramai 29 pelatih FORTRAIN Sarawak yang telah menamatkan latihan mereka dengan jayanya pada September 2024 akan ditawarkan kontrak kerja dalam masa terdekat dan mereka akan ditempatkan di pelbagai stesen kerja JHS di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis aspirasi bersama Pengarah Hutan Sarawak peringkat zon tengah 2025, bertempat di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi.
Katanya, sebanyak 189 jawatan baharu akan diwujudkan dalam empat tahun, tertumpu kepada bahagian strategik seperti FTG, nurseri RIFD, PMD Carbon dan Sarawak Delta Geopark.
Dalam pada itu, katanya, pada 2023 dan 2024, JHS telah mendapat pelbagai pencapaian yang membanggakan dengan menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Antara pencapaian utama yang kita telah perolehi bagi 2023 adalah Diploma Special Award, Dua Anugerah Emas dan Satu Perak di Malaysian Technology Expo 2023 untuk projek-projek COMOS, SARABOM dan SMART Forestry; Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan dengan projek “Seedball Blaster” telah menerima Anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC 2023) di Beijing, China; dan Anugerah Sarawak Digital Economy Awards 2023 sempena IDECS 2023 dalam Category Digital Government Award untuk Sarawak Log Tracking and Forest Revenue System (REVLOG).
“Pada 2024, kita telah mendapat lebih banyak penganugerahan seperti Anugerah Emas Premier Sarawak bagi Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS) yang diterima semasa Hari Perkhidmatan Awam pada Februari yang lepas; pada Februari 2024 juga, kita telah mendapat dua anugerah emas dan satu perak di Malaysian Technology Expo 2024 untuk projek-projek EFIMS, REVLOG dan Seedball Blaster; Kategori Emas Anugerah Integriti, Governans dan Anti-rasuah (AIGA) 2023; Anugerah Kelestarian sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS 2024) untuk projek Greening Sarawak Campaign (Forest Landscape Restoration): Turning Commitments Into Canopies; Kumpulan Inovatif dan Kreatif Jabatan Hutan Sarawak iaitu Kumpulan ConservaTech, Resto Revo dan Great Minds telah berjaya mendapat pengiktirafan empat bintang sempena Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2024.
“Kumpulan Great Minds turut memenangi Anugerah Green Innovation pada majlis tersebut iaitu Pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS); dan Personaliti Buku Wanita Sarawak 2024: Zarina Sebli atas sumbangan dan pencapaian beliau melalui pendekatan inovatif di dalam pelaksanaan Greening Sarawak Campaign dan perhutanan sosial di Sarawak,” katanya.
Tambahnya, berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), JHS mempunyai empat teras perkhidmatan JHS bagi 2025.
“Pertama, kita akan terus meneroka kepelbagaian ekonomi, termasuk inisiatif karbon hutan sebagai sumber pendapatan baharu bagi negeri Sarawak.
“Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri tetapi juga memperkukuhkan komitmen kita terhadap kelestarian alam.
“Kedua, transformasi digital akan terus menjadi keutamaan melalui penggunaan teknologi seperti COMOS, EFIMS, REVLOG dan EcoHub.
“Inovasi ini akan membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing Jabatan, sekaligus memperkukuhkan usaha pengurusan hutan mampan dan menyediakan perkhidmatan yang lancar kepada pelesen atau industri,” katanya.
Katanya, ketiga adalah JHS bertekad untuk memacu kelestarian melalui komitmen seperti menanam 50 juta pokok menjelang 2025.
“Usaha ini akan memastikan kelangsungan ekosistem hutan Sarawak sebagai khazanah semula jadi yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Keempat, aspek kesaksamaan sosial akan terus diberi perhatian melalui program pembangunan komuniti seperti perhutanan sosial, penggunaan hasil hutan bukan kayu (NTFP) dan pelaksanaan projek ITTO.
“Langkah ini akan memastikan manfaat pemuliharaan alam turut dinikmati oleh komuniti setempat,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Konservasi Hutan & Pembangunan) Happysupina Sait, Pegawai Hutan Wilayah Sarikei Ali Lee, bekas Pegawai Hutan Wilayah Sarikei Rufus Jonathan Alek, Pegawai Hutan Wilayah Sibu Ahmad Ashrin Mohammad Bohari dan Pegawai Hutan Wilayah Kapit Afriezul Abdul Rahman.
Oleh Earl Anek