SIBU: Seramai 108 penerima di kawasan Parlimen Lanang menerima bantuan kebajikan yang disalurkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, menerusi inisiatif Program Sayangi Lanang.
Bantuan yang diberikan merangkumi pelbagai bentuk sokongan seperti bantuan pendidikan, faedah kematian, bantuan perubatan, serta manfaat khas untuk bayi baru lahir.
Menurut Lau, program ini bertujuan memastikan golongan memerlukan tidak tercicir, terutama ketika menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban kewangan rakyat, terutamanya pelajar yang baru memulakan penggal persekolahan dan keluarga yang menyambut ahli keluarga baharu,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Salah satu inisiatif utama yang mendapat sambutan adalah program “Selamat Datang, Bayi Baru Lahir Lanang!” yang dilancarkan pada September tahun lalu.
Program ini menawarkan faedah khas kepada bayi yang dilahirkan pada atau selepas 16 September 2024, dengan syarat salah seorang ibu bapa merupakan pengundi di kawasan Lanang.
Permohonan faedah ini perlu dibuat dalam tempoh 90 hari selepas kelahiran bayi.
Selain itu, Lau menyeru penduduk yang memerlukan bantuan seperti dialisis, pendidikan, bantuan bencana atau perubatan untuk hadir ke Pusat Khidmat P211 Lanang di No. 2, Lorong Lanang 82, Sibu, bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjaga. Saya berharap usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kemajuan komuniti Lanang,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting