SARIKEI: Seorang lelaki warga emas berumur 71 tahun ditemui meninggal dunia oleh orang awam di dalam sungai dalam radius 500 meter dari rumah terakhir mangsa dikhuatiri hilang pada 7.00 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Rampai Jeti dari Rumah Nugu, Kerubong, Jalan Selalang.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bertindak memasukkan mayat mangsa ke dalam beg mayat dan membawa keluar dari hutan.
“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR ditamatkan pada 8.50 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, mangsa dilaporkan hilang oleh anak saudaranya setelah pergi ke kebun pada 8.00 pagi dan tidak balik rumah pada 4.00 petang.
Risau dengan keselamatan bapa saudaranya, anak saudara mangsa telah pergi ke kebun untuk mencari mangsa namun gagal dijumpai dan terus membuat panggilan kecemasan melalui Mers999 ke PGO Bomba Sarawak pada 7.05 malam tadi.