KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mahu Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) terus berperanan penting sebagai badan yang menjaga kebajikan umat Islam di daerah itu.
Beliau berkata fungsi LAKIK sememangnya penting sebagai sebuah entiti yang membantu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam isu berkaitan umat Islam di sini.
“Peranan LAKIK juga adalah untuk mengurus tanah perkuburan Islam, menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam, membantu memperbaiki ekonomi dan pendidikan umat Islam sekaligus memastikan kita hidup mengikut ajaran agama Islam yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung LAKIK dan pemilihan Ahli Lembaga LAKIK sesi 2025-2028 di Masjid Assabirin Kabong, hari ini.
Kesemua ahli mesyuarat sebulat suara untuk terus mengekalkan pimpinan LAKIK sesi 2025-2028 yang diketuai oleh pengerusinya, Kaunselor Ulin Tabur.
“Saya mengingatkan supaya ahli pengurusan yang telah dilantik semula itu, bersikap profesional dan tidak terbawa-bawa kecenderungan berpolitik kepartian. Saya berharap supaya semua ahli pengurusan LAKIK menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan amanah yang telah diberikan itu.
“Sikap matang dan profesional dalam sesuatu pengurusan organisasi akan mencerminkan ketinggian pemikiran dalam tindakan dan gerak kerja. Hanya mereka yang bijak dan berpandangan jauh sahaja mampu membezakan antara keinginan peribadi dan kepentingan organisasi,” katanya.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir telah menyampaikan geran projek khas kerajaan Sarawak kepada LAKIK sebanyak RM20,000.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kabong Tahir Sharee, Penghulu Sani Mohamad, Penghulu Rahman @ Dom Kapok dan wakil Pengurusan HK Enterprise Kamaluddin Alkap.
Oleh Adi Safarman