MUKAH: Hasil rondaan pemantauan kawasan banjir di 12 kampung dan kawasan kuaters Jabatan Kesihatan Daerah Mukah mendapati kebanyakan kawasan telah menunjukkan penurunan paras air, dan masih berlaku hujan sederhana lebat di beberapa kawasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin berkata, rondaan di Kampung Kuala Lama, Kampung Penakup Hilir dan Kampung Teh masing-masing merekodkan paras air 2.0 kaki dengan tren menurun.
“Kampung Sungai Alo, Kampung Bunut, Kampung Litong, Kampung Tanjung, Kampung Seberang, Kampung Penakub Ulu dan kawasan kuarters Jabatan Kesihatan Daerah Mukah masing-masing merekodkan paras air 0.5 kaki dengan tren menurun.
“Kampung Tellian Ulu (paras air 2.5 kaki trend menurun) dan Kampung Penakup Hilir (paras air 2.0 kaki trend menurun perlahan) manakala Kampung Tutus Ulu (tiada merekodkan bacaan),” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.
Beliau berkata, laluan jalan utama ke kampung-kampung masih dapat dilalui oleh kenderaan walaupun terdapat ‘cut off’.
“Laluan ke Kampung Teh dan Kampung Tabo hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat seperti pacuan empat roda (4ED) dan lori sahaja tetapi tidak melibatkan keseluruhan jalan dan hanya jalan-jalan rendah sahaja.
“Jalan-jalan utama di pekan seperti Jalan Pinang masih ‘cut off’ kurang 0.5 kaki dan boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
“Ini disebabkan paras jalan yang rendah daripada parit dan aliran air dari atas jalan ke parit yang perlahan,” kata beliau.
Katanya, pihak bomba telah menasihati penduduk kampung untuk sentiasa berada dalam keadaan yang bersedia untuk berpindah pada bila-bila masa.
“Sentiasa memastikan bekalan elektrik utama ditutup sekiranya berpindah ke rumah saudara-mara yang lain, pastikan penggunaan penyambungan wayar berada pada paras yang lebih tinggi daripada lantai dan memastikan rumah selamat daripada dimasuki reptilia dan serangga berbisa,” ujarnya.
Katanya lagi, tindakan awal pindahkan segala peralatan penting ke tempat yang selamat dan tinggi.
“Pastikan dokumen penting sentiasa dibawa bersama dan senang untuk dicari sekiranya diarahkan berpindah. Keadaan semasa masih terkawal dan hanya kerugian yang melibatkan harta benda yang rosak akibat banjir.
“Kemungkinan akan berlaku gelombang yang seterusnya sekiranya hujan turun lebat lebih dari satu jam secara berteruskan dan bertembung dengan kenaikan paras air pasang,” kata beliau.
Oleh Akun Giman