SIMANGGANG: Kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi bagi memastikan agenda pembangunan dapat direalisasikan seiring dengan kemahiran dan bakat yang ada.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata pendidikan TVET juga sangat penting bagi kemajuan negeri Sarawak kerana ia melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja moden.
“Kita sedar akan kepentingan pendidikan di samping kita tidak mengabaikan ilmu akademik, kita juga fokus kepada aliran teknikal seperti STEM dan TVET kerana negeri kita yang melangkah ke arah Sarawak maju menjelang 2030 memerlukan tenaga mahir yang dikeluarkan institusi teknikal.
“Ini bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja mahir yang diperlukan industri. Untuk menyahut seruan mengeluarkan modal insan berkualiti, di Bandar Simanggang tidak ketinggalan apabila Kampus Sarawak Skills telah dibuka untuk pengambilan pelajar dalam bidang elektrikal.
“Sarawak Skills Cawangan Sri Aman juga turut mengadakan kursus jangka pendek dalam bidang pertanian moden seperti tanaman fertigasi dan sistem hidroponik. Pertubuhan seperti Sebanyak 13 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) adalah dipelawa untuk mengikuti kursus dan sentiasa peka dengan mendapatkan informasi dari Sarawak Skills mengenai kursus yang bakal ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi randau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Luke, Sri Aman di sini hari ini.
Harden menjelaskan satu lagi inisiatif kerajaan Sarawak ialah menyediakan pendidikan percuma pada tahun 2026 kepada anak Sarawak yang belajar di peringkat universiti milik Sarawak seperti Univesiti Teknologi Sarawak (UTS); Universiti Teknologi Swinburne; Universiti Kolej i-CAT; Universiti Curtin dan CENTEXS.
“Ibu bapa pelajar perlu menggalakan anak-anak mereka untuk merebut peluang yang ditawarkan oleh kerajaan Sarawak yang menyediakan pendidikan percuma demi membolehkan keluarga yang tidak mampu dari segi belanja dapat melanjutkan pelajaran,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Harden turut menyampaikan wang tunai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada lima orang penerima simbolik kepada 667 penerima dari SMK St Luke, Sri Aman.
Beliau meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada PIBG SMK St Luke digunakan untuk menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar dan sekolah.