SINGAPURA: Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong membuat keputusan untuk bersara daripada politik menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, menurut Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Menurut Lee, ‘dengan rasa amat sedih’ beliau menerima keputusan Goh untuk bersara yang dimaklumkan kepadanya menerusi sepucuk surat, bermakna bekas perdana menteri itu tidak akan bertanding dalam PRU kali ini selepas 44 tahun menjadi Ahli Parlimen.
“Kami telah bekerja bersama-sama selama hampir 40 tahun,” kata Lee dalam catatan terkininya di Facebook pada Khamis yang turut disertakan dengan gambar beliau dan Goh.
Lee dalam tulisannya itu menyatakan Goh telah melalui perjalanan politik luar biasa dan menjadi Ahli Parlimen kawasan Marine Parade sejak berusia 35 tahun iaitu pada 1976.
“Beliau pernah memegang pelbagai portfolio sebelum diminta oleh rakan-rakan menteri (termasuk saya) menjadi Perdana Menteri kedua Singapura dan beliau tidak mengecewakan Singapura.
“Saya secara peribadi akan selamanya terhutang budi pada Chok Tong, yang membawa saya menceburi politik. Persahabatan kami amat akrab sepanjang kerjaya saya dalam politik dan begitu juga beliau – persahabatan erat antara dua perdana menteri yang dicemburui banyak negara.”
Lee, mewakili semua rakyat Singapura mengucapkan terima kasih kepada Goh atas “perkhidmatan cemerlang kepada negara dan rakyat selama ini.”
“Quo Vadis (ke mana anada akan pergi), Chok Tong? Apa juga yang anda pilih untuk lakukan, saya mengucapkan selamat bersara dan semoga sentiasa gembira,” tulis Lee.
Kira-kira 2.6 juta pemilih akan mengundi pada PRU Singapura pada 10 Julai ini.- Bernama