PM Anwar percaya isu Petronas, Petros sudah selesai

Facebook
WhatsApp
Anwar ketika lawatan ke Emiriah Arab Bersatu.

ABU DHABI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya  isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.

“Tetapi kita (Kerajaan Persekutuan) terima juga kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak untuk meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” kata beliau kepada kalangan wartawan Malaysia pada sidang media di akhir lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini, pada Selasa.

Anwar berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan yang lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas.

Beliau tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari ke UAE, antara lain bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini serta meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-duanya.

Ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

— BERNAMA

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman