BINTULU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa untuk melawat Kelab Golf Bintulu selepas merasmikan pelepasan kargo eksport metanol Sarawak Petchem ke China dan projek metanol hijau di sini, hari ini.
Semasa lawatan itu, beliau diberi taklimat mengenai projek pembinaan bangunan baharu Kelab Golf Bintulu yang melibatkan kos RM21.82 juta.
Projek tersebut bakal menampilkan kemudahan moden seperti panel solar dan sistem pengumpulan air hujan, sejajar dengan komitmen Sarawak terhadap pembangunan lestari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu merangkap Presiden Kelab Golf Bintulu, Johnny Pang Leong Ming berkata, projek itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengalaman pemain golf, tetapi juga berfungsi sebagai pusat sosial dan platform untuk memperkukuh hubungan antara komuniti dan sektor perniagaan.
“Projek ini adalah simbol kemajuan dan kecemerlangan.
“Dengan sokongan beliau (Abang Johari) dan pelbagai pihak lain, Kelab Golf Bintulu akan menjadi contoh kepada kemudahan sukan dan rekreasi bertaraf dunia di Sarawak,” katanya.
Difahamkan, Premier Sarawak turut menzahirkan sokongan beliau terhadap usaha tersebut, yang mampu memperkukuh kedudukan Bintulu sebagai hab ekonomi utama negeri terutamanya dalam sektor minyak dan gas.
Selain itu, beliau juga memberi penghormatan kepada Ashley Lau Jen Wen, atlet kelab yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, sebagai inspirasi kepada generasi muda di Sarawak.
Pada lawatan itu, Abang Johari turut dimaklumkan tentang langkah-langkah untuk memastikan padang golf kelab berada dalam keadaan terbaik, sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang bagi menarik pelaburan dan menyokong pembangunan komuniti setempat.
Oleh Carolyne Utih