PETRA JAYA: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) melalui Pejabat Residen Bahagian Sri Aman hari ini telah memeterai perjanjian dengan Institut Pembangunan Sarawak (SDI) selaku juru perunding bagi menjalankan kajian bertajuk ‘Greater Together’: Pemetaan Ekosistem Pengeluaran Padi di kawasan Jelapang Padi Batang Lupar di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sarawak Lelia Sim Ah Hua yang disaksikan oleh Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas SADA Alfred Geling Ason dan Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.
Menurut Rohani, cadangan kajian ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu SADA pada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bertarikh 11 Jun tahun lalu bertempat di Wisma SADA, Sri Aman.
“Kajian sosioekonomi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan jelapang padi Batang Lupar yang terletak di Daerah Lingga.
“Di antara objektif utama kajian ini adalah untuk mengumpul profil sosio-ekonomi petani dan juga pemilik tanah di kawasan tersebut.
Selain itu, untuk mengenal pasti masalah atau cabaran dalam proses pengeluaran padi d kawasan jelapang padi Batang Lupar dan mencari langkah-langkah yang lebih efektif untuk meningkatkan penglibatan para petani dalam penanaman padi menggunakan kaedah dan teknologi moden,” katanya.
Rohani berkata SADA berharap dapatan daripada kajian ini dapat membantu petani-petani di kawasan jelapang padi Batang Lupar meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.
“Ia sekali gus menyokong misi kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar beras utama di negara Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen di Bahagian Sri Aman, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Sri Aman serta semua agensi yang banyak membantu dalam perancangan kajian ini.