KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam memperkasakan pendidikan dan meningkatkan pembangunan infrastruktur sebagai inisiatif penting bagi seluruh rakyat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, usaha dalam menyediakan asas akademik kepada pelajar merupakan perkara utama kerajaan untuk melatih dan membentuk keyakinan diri pelajar supaya menjadi titik tolak demi masa depan mereka.
Menurutnya, contoh yang diambil adalah melalui usahanya sebagai ADUN Kota Sentosa, menggunakan peruntukan Geran Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Jelasnya, antara kawasan yang terlibat adalah termasuk Kampung Stampin bagi memperbaiki kemudahan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Hari Apresiasi Tabika Kemas Parlimen Stampin di Dewan Majma Baitulmal di sini, pagi tadi.
Dalam pada itu, Wilfred Yap memaklumkan bahawa penyerahan peruntukan daripada Projek Luar Bandar (MRP) kepada komuniti juga adalah untuk menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan dan kokurikulum.
“Ini selaras dengan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memberi keutamaan kepada pendidikan sebagai salah satu teras utama untuk meningkatkan pendapatan keluarga.
“Jika politik stabil, kerajaan dapat menumpukan sepenuhnya kepada dasar-dasar pembangunan.
“Seperti yang selalu ditegaskan oleh Premier, jika Sarawak kaya, Malaysia juga akan kaya” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa pendidikan sebagai kunci utama kepada pelajar dalam melahirkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan ekonomi di negeri ini.
Sebagai mana yang dimaklumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam majlis amanat baru-baru ini, beliau sangat menekankan aspek pendidikan kepada pelajar.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan Majlis Apresiasi Kanak-kanak Tabika Kemas Parlimen 196 Stampin Tahun 2024 kepada 329 orang kanak-kanak.
Ujarnya, semoga anak-anak ini akan terus maju dalam pendidikan hingga ke menara gading dan menjadi modal insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Oleh Noor Ikmal