LAWAS: Perpaduan dan kerjasama masyarakat pelbagai kaum di negara ini merupakan teras kepada pembangunan negara dan wilayah Sarawak.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong menegaskan bahasa perpaduan komuniti yang pelbagai dalam sesebuah masyarakat di akar umbi penting bagi mewujudkan suasana aman.
“Daerah Lawas memiliki keunikan tersendiri kerana kita di Lawas mempunyai satu-satunya komuniti kaum Tagal yang menghuni kawasan di ulu Merapok dan Long Tengoa di Ulu Trusan.
“Kaum Penan juga ada di Lawas yang merupakan kelompok minoriti yang bersama-sama membentuk masyarakat majmuk di kawasan Parlimen Lawas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2025 Peringkat Daerah Lawas anjuran Jabatan Perpaduan dengan kerjasama jawatankuasa permuafakatan Rukun Tetangga Daerah Lawas di Dewan Masyarakat Trusan malam tadi.
Henry Sum berkata kepelbagaian kaum dan etnik di Lawas dan Sarawak amnnya merupakan kekuatan yang telah dinikmati sekian lama.
Malahan perbezaan pendapat yang sememangnya wujud perlu disalur melalui saluran yang tepat tanpa mengugat keharmonian kaum yang ada.
“Setiap kaum dan etnik di Sarawak memiliki kekuatan serta kemampuan tersendiri dan kita mahu meraikan kepelbagaian ini dengan terus mengamalkan toleransi dalam berbagai aspek.
“Untuk menyuburkan program perpaduan antara kaum dan masyarakat, maka saya mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM10, 000.00 kepada Jabatan Perpaduan Lawas untuk menjalankan aktiviti mereka tahun ini,” tambahnya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Sarawak Diwarna Azool dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Oleh ADENG EDRUS