PETRA JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membantu usahawan, khususnya di Sarawak, keluar daripada kemiskinan melalui pinjaman berteraskan Islam serta sokongan latihan dan bimbingan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, pinjaman yang ditawarkan antara RM3,000 hingga RM30,000 bukan sahaja membantu dari segi modal malah juga disertai latihan dan bimbingan untuk memastikan kejayaan perniagaan mereka.
“Kejayaan ini tidak hanya bergantung pada pemberian pinjaman, tetapi juga pada sokongan penuh yang diberikan AIM kepada usahawan.
“Hasilnya, mereka berjaya meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Karnival Singgah Lok Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kuching di pekarangan pusat beli-belah Eco di sini, hari ini.
Fadillah berkata kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) untuk Sarawak hanya 0.02 peratus, menunjukkan komitmen usahawan Sarawak untuk membayar balik pinjaman mereka.
“Kejayaan ini membuktikan kesungguhan dan keupayaan menjana pendapatan yang mengagumkan dalam kalangan usahawan AIM di Sarawak, khususnya di Kuching.
“Ini membuktikan usaha mereka berjaya kerana mampu membayar balik pinjaman,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi AIM, Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid berkata, keusahawanan adalah platform untuk membina kehidupan lebih baik, menyumbang kepada pembangunan negara, dan mengukuhkan rangkaian komuniti.
“Sejak beroperasi pada 19 September 1987, AIM telah mencatatkan pelbagai kejayaan yang membanggakan selama hampir 38 tahun.
“AIM mempunyai 11 wilayah, 117 cawangan, dan lebih 2,200 kakitangan sehingga hari ini.
“Sehingga September 2024, AIM mencatatkan hampir 313,000 ahli usahawan di seluruh negara, dengan 42,184 ahli aktif di Sarawak,” katanya.
Tambah Syed Hussian, pada 2024, jumlah pinjaman yang disalurkan kepada usahawan AIM mencecah RM262 juta, dengan Sarawak mencatatkan kadar pembayaran balik yang cemerlang.
“Sebagai hasilnya, sasaran kutipan pembayaran AIM di Sarawak untuk 2025 telah dinaikkan kepada RM269 juta,” katanya.
Untuk rekod, seramai 1,200 usahawan dari Cawangan Kuching AIM berjaya menganjurkan Karnival Sahabat Usahawan Singgah Lok AIM.
Oleh Mohd Neenatul Aizal