LIMBANG: Mentaliti menjadikan sekolah sekadar untuk mendapat sijil dan lulus peperiksaan perlu diubah sesuai dengan keperluan semasa.
Penguasaan ilmu dan kemahiran terkini perlu dipupuk sebagai prinsip utama dalam kalangan murid mencapai kecemerlangan yang lebih menyeluruh.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Pusat Said Mat Zin berkata, mencintai ilmu itu wajar ditafsirkan ke arah penghasilan pemahaman intelektual, pelengkap ke arah pembinaan peribadi insaniah.
“Murid-murid perlu sentiasa membudayakan ilmu dalam setiap ruang dan kehidupan.
“Saya percaya jika ia dapat dilakukan, maka akan lahirlah masyarakat yang berbudaya ilmu dan menyedari ketinggian nilai ilmu dan kepentingannya,”katanya berucap pada Majlis Konvokesyen Tahun 6 dan Anugerah Kecemerlangan Kurikulum Tahun 2024, SK Melayu Pusat Limbang di Dewan Suarah, semalam.
Hadir memeriahkan majlis ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah,Unit Prasekolah dan Rendah Sektor Pengurusan Sekolah Dayang Lelawati Abang Jalil.
Turut sama ialah Pegawai Perhubungan Sekolah yang juga Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Inspektor Jafri Junat, Penolong Kanan Satu SK Melayu Pusat Norpiah Salleh dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Melayu Pusat Limbang Rahman Sait.
Jelasnya, murid-murid mampu bergerak maju ke hadapan berbekalkan ilmu pengetahuan tinggi.
“Kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran perlu direalisasikan dalam arus perdana.
“Perjuangan golongan ini untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang diterjemahkan dalam benyuk penguadaan ilmu,” ujarnya.
Kata Said lagi, para guru memberi sumbangan besar dalam mendidik murid-murid selain pengorbanan ibu bapa dalam memastikan mereka mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pembelajaran.
Oleh Adeng Edrus