LONDON: Lucas Bergvall mencetus kekalahan kedua Liverpool musim ini apabila jaringan lewat pemain remaja itu membantu Tottenham menang 1-0 secara kontroversi pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.
Bergvall meledak dengan hanya berbaki empat minit di London utara, namun bos Liverpool, Arne Slot berang pemain Sweden itu masih berada di padang untuk menyumbat gol sulungnya buat Tottenham.
Sesudah menerima kad kuning, pemain berusia 18 tahun itu terselamat daripada kad kuning kedua beberapa detik terdahulu selepas melakukan terjahan keras ke atas Kostas Tsimikas.
Tsimikas berada di luar posisi selepas terjahan itu apabila Bergvall menjaringkan gol menerusi serangan yang bermula dari sebelah sayap kiri.
Kemenangan Tottenham satu tonik menggembirakan buat Rodrigo Bentancur, yang dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan membimbangkan.
Bentancur membongkok untuk menanduk satu sepakan sudut pada minit ketujuh sebelum terbaring di padang tanpa dicabar.
Rakan sepasukannya menyedari keadaan itu dan permainan dihentikan ketika Bentancur menerima rawatan perubatan selama sembilan minit.
Pemain berusia 27 tahun itu diberikan oksigen menerusi topeng muka ketika penonton terdiam seketika.
Ketika rehat, Tottenham meredakan kebimbangan mengenai bintang Uruguay, Bentancur, yang baru-baru ini kembali daripada penggantungan tujuh perlawanan kerana komen berbaur perkauman mengenai rakan sepasukan Son Heung Min.
“Kami boleh mengesahkan Rodrigo sedar, bercakap dan akan ke hospital bagi pemeriksaan lanjut,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan di laman X ketika rehat separuh masa pertama.
Membalas kritikan mengenai persembahan tidak menentu Tottenham dan taktikal serangannya, bos Spurs, Ange Postecoglou mendakwa awal musim ini beliau sering menang satu trofi pada musim keduanya.
Tottenham kali terakhir menang trofi apabila mereka menjulang Piala Liga pada 2008 dan pertandingan itu dilihat sebagai peluang buatnya untuk menamatkan kemarau piala.
Liverpool menang Piala Liga musim lalu dalam apa yang terbukti trofi terakhir Jurgen Klopp.
Slot mengemudi Liverpool mengungguli Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sejak menggantikan Klopp, menjadikan perlawanan awal pagi tadi sesuatu yang jarang berlaku daripada The Reds di bawah kendalian warga Belanda itu.
Ia kekalahan pertama Liverpool dalam 24 perlawanan bagi semua pertandingan sejak tumpas 1-0 di tangan Nottingham Forest dalam liga September lalu. – AFP