PROSES membina pemimpin masa depan sangat penting kepada negara. Lebih-lebih lagi dunia sekarang semakin komplek, perkembangan ilmu semakin pesat, kecanggihan era teknologi dan pentingnya anak muda disediakan ilmu secukupnya untuk menjadi pemimpin masa depan.
Di Amerika Syarikat (AS), Presiden Lyndon B. Johnson memperkenalkan program Felo Rumah Putih pada 1964.
Program felo yang bersifat bebas politik ini merupakan salah satu program kepimpinan dan perkhidmatan awam paling berprestij di Amerika Syarikat, memberikan peluang kepada rakyat AS yang cemerlang untuk memperoleh pengalaman secara langsung bekerja di peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan.
Objektif utama Felo Rumah Putih adalah untuk melahirkan pemimpin masa depan melalui pengalaman mendalam dalam pentadbiran kerajaan, selain untuk meningkatkan pemahaman tentang dasar awam dan pentadbiran dengan menyediakan platform untuk melibatkan diri dalam proses pembuatan keputusan peringkat tertinggi.
Ia juga untuk memupuk semangat perkhidmatan awam dengan memberi inspirasi kepada individu untuk berbakti kepada negara. Program ini direka untuk mana-mana individu yang mempunyai rekod pencapaian profesional cemerlang dan semangat perkhidmatan masyarakat.
Setiap tahun, peserta dipilih melalui proses yang sangat kompetitif yang menilai kepimpinan, pencapaian, dan komitmen mereka terhadap perkhidmatan awam.
Peserta terpilih akan ditugaskan ke agensi atau pejabat utama dalam Kerajaan Persekutuan. Mereka berkhidmat sebagai penasihat, pembantu khas, atau penyelidik kepada pegawai kanan seperti menteri kabinet, penasihat presiden, atau ketua jabatan kerajaan.
Pengalaman ini memberikan mereka akses kepada proses pembuatan dasar dan wawasan unik tentang pengurusan kerajaan.
LATIHAN KEPIMPINAN
Terdapat latihan kepimpinan dilaksanakan selain kerja rasmi,seperti menghadiri sesi seminar khas, lawatan tapak, dan perbincangan dengan pemimpin utama dalam pelbagai sektor termasuk kerajaan, industri, media, dan NGO.
Ia mampu membuka peluang rangkaian dengan menyediakan peluang rangkaian yang luas dengan alumni, pemimpin kerajaan, dan tokoh berpengaruh lain.
Terdapat jaringan komuniti yang berprestij kalangan alumni Felo Rumah Putih yang telah menjadi pemimpin terkemuka dalam sektor awam dan swasta, termasuk CEO, pengasas NGO dan pegawai kerajaan peringkat tinggi.
MEMBINA PEMIMPIN GLOBAL
Felo Rumah Putih memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin global kerana ia mampu membentuk pemimpin yang memahami isu nasional dan global dengan lebih mendalam.
Ia juga meningkatkan integrasi profesional dengan pengalaman langsung dalam kerajaan membantu peserta memahami cabaran sebenar pentadbiran awam selain membentuk kepimpinan beretika yang menekankan pentingnya integriti, kejujuran, dan etika dalam kepimpinan.
Program Felo Rumah Putih kini terus memainkan peranan penting dalam mencipta pemimpin masa depan yang mampu menghadapi cabaran global.
Dengan tumpuan kepada pembangunan kepimpinan dan penglibatan masyarakat, program ini berupaya melahirkan generasi baru yang komited kepada perkhidmatan awam dan inovasi dasar.
Ternyata program ini bermakna untuk individu berbakat yang bercita-cita untuk membuat perubahan di peringkat tertinggi.
Dengan kombinasi pengalaman praktikal, latihan kepimpinan, dan peluang rangkaian, program ini terus menjadi inspirasi kepada pemimpin muda di seluruh dunia.
Sebagai salah satu program kepimpinan paling berprestij, Felo Rumah Putih adalah contoh bagaimana negara boleh melabur dalam pembangunan modal insan untuk masa depan yang lebih baik.
FELO PERDANA MALAYSIA
Di Malaysia, era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari pentingnya pembinaan anak muda untuk memahami dan terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan.
Sudah pasti penubuhan ini aspirasi daripada kewujudan Felo Rumah Putih di Amerika Syarikat.
Maka asas program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri anak muda, memberi pendedahan terhadap pengurusan dan sistem pentadbiran kerajaan, serta menyediakan platform untuk penglibatan anak muda dalam penggubalan dasar negara.
Melalui pengalaman ini, golongan anak muda diharapkan dapat menjadi ejen perubahan dalam masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.
Penubuhan Felo Perdana diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang berwawasan, dinamik, dan berdaya saing.
Program yang dilancarkan pada 2013 mempunyai sistem ini, iaitu setiap felo ditempatkan bersama seorang Ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua Felo bagi setiap menteri dan seorang felo untuk Ketua Setiausaha Negara.
Melalui hubungan langsung ini, mereka dapat memperoleh bimbingan secara intensif dan pengalaman kerja yang unik. Pemilihan peserta dilakukan secara teliti melalui proses yang ketat, termasuk sesi orientasi untuk memastikan mereka memahami tatacara dan peraturan perkhidmatan awam.
Para peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pengkhususan, merangkumi bidang ekonomi, undang-undang, kejuruteraan, sains politik, dan lain-lain.
Peserta program juga diberikan sokongan kewangan melalui elaun bulanan sebanyak RM2,000 untuk graduan dan RM1,000 untuk siswa/siswi universiti. Insentif ini bertujuan untuk meringankan beban peserta sepanjang tempoh program dan membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab yang diamanahkan.
KEPENTINGAN DAN MASA DEPAN PROGRAM
Sejak diperkenalkan, program Felo Perdana telah berjaya melahirkan lebih 763 alumni yang kini menjadi aset penting kepada negara.
Inisiatif ini tidak hanya memberikan peluang kepada belia untuk berkembang secara profesional, tetapi juga membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
Melalui pendedahan langsung kepada pentadbiran kerajaan dan penggubalan dasar, mereka tidak hanya memperoleh pengetahuan dan kemahiran teknikal, tetapi juga memahami nilai kepimpinan, integriti, dan tanggungjawab sosial.
Program ini relevan dengan aspirasi negara dan dapat membina generasi pemimpin yang tidak hanya memahami keperluan rakyat tetapi juga mampu menginovasikan dasar-dasar demi masa depan yang lebih baik.
KOMITMEN KERAJAAN
Felo Perdana adalah simbol komitmen kerajaan terhadap pembangunan modal insan belia dan mencerminkan keyakinan terhadap potensi belia untuk menjadi ejen perubahan dalam pembangunan negara.
Dengan sokongan berterusan dan penyertaan belia yang komited, program ini mampu terus menjadi platform utama untuk melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, sekali gus memastikan masa depan negara yang lebih cerah.
Secara keseluruhannya, Felo Rumah Putih dan Felo Perdana sangat menginspirasikan bagi penglibatan anak muda dalam penggubalan dasar, memperkukuh representasi suara generasi muda, mempunyai akses kepada proses dasar peringkat tertinggi, menjadikan mereka ejen perubahan yang mampu memacu inovasi.
Ia mampu membuka ruang kepada anak muda untuk memberikan perspektif baharu dalam menggubal dasar yang lebih inklusif. Felo Rumah Putih melahirkan pemimpin global seperti Colin Powell telah memberikan sumbangan besar kepada sektor awam dan swasta.
Di Malaysia, terdapat alumni Felo Perdana menjadi Ahli Parlimen dan menteri. Maka, sudah tiba masanya kerajaan Sarawak menubuhkan institusi seumpama ini untuk membina pelapis kepimpinan masa depan.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).