KUCHING: Pusat Intervensi Awal Kanak-Kanak (OSEIC) di Miri dijangka beroperasi pada Jun 2025 ini, dalam usaha menyediakan intervensi awal kepada kanak-kanak kelainan upaya (OKU) di wilayah utara negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persiapan untuk membuka pusat ini sedang giat dijalankan, termasuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan lot kedai yang telah dikenal pasti.
“OSEIC Miri ini akan memberi manfaat kepada kanak-kanak dari kawasan sekitar seperti Marudi, Bintulu, Limbang, dan Lawas.
“Permohonan yang tinggi dari kawasan ini mencerminkan keperluan mendesak untuk menyediakan perkhidmatan diagnosis dan intervensi awal yang lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Minum Petang OSEIC Sarawak di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fatimah turut menyatakan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk membuka OSEIC di Kota Samarahan dengan pendekatan yang sama seperti di Kuching, iaitu melalui penyewaan lot kedai.
Beliau dalam ucapannya turut berkongsi statistik yang menunjukkan peningkatan kanak-kanak yang mendapat manfaat dari perkhidmatan OSEIC.
“OSEIC Kuching bermula pada 2020 dengan 100 kanak-kanak. Pada 2021, jumlah itu meningkat kepada 254, diikuti 438 pada 2022, dan 564 setakat 31 Disember 2024.
“Di OSEIC Dalat, yang ditubuhkan pada 2023, kita telah membantu 53 kanak-kanak, menjadikan jumlah keseluruhan di Sarawak kini 617 kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata seramai 564 kanak-kanak telah berjaya menamatkan program OSEIC sejak penubuhannya, dengan sebahagian daripada mereka kini bersekolah di aliran perdana.
Sementara itu, Fatimah berkata bahawa OSEIC Kuching akan memanjangkan operasinya hingga separuh hari pada hari Sabtu mulai tahun ini.
“Ini adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti kepada lebih 600 kanak-kanak setiap tahun,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal