KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan kemasukan lima juta pelancong dengan unjuran pendapatan pelancongan mencecah RM10 bilion pada 2025.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran tersebut dijangka mampu dicapai kerana negeri ini bakal memiliki syarikat penerbangan tersendiri pada tahun ini.
“Kita juga turut menganjurkan pelbagai acara seperti yang dilakukan pada tahun sebelumnya, dengan sokongan dana dari kerajaan Sarawak.
“Oleh itu, saya percaya kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu 5 juta pelancong pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-50 Boney M di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut menjelaskan bahawa prestasi cemerlang Sarawak pada tahun lepas memberikan keyakinan bahawa sasaran tersebut mampu dicapai.
“Pada tahun lepas, kita menyasarkan empat juta pelancong dan berjaya mencapai angka tersebut pada November.
“Angka sebenar akan diketahui pada pertengahan Januari ini, dan saya boleh katakan bahawa ia hampir mencecah lima juta pelancong,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal