LIMBANG: Perkhidmatan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bomba akan digunakan untuk mengagihkan bantuan pek makanan ke kawasan yang sukar dihubungi di Long Napir dan Long Rayeh di daerah ini.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata penggunaan helikopter diperlukan ke kawasan terbabit disebabkan jauh di pedalaman.
Setakat ini sebanyak 8,980 rumah atau pintu rumah panjang di daerah ini dikenal pasti telah menerima bantuan agihan pek makanan itu.
Maklumat penyerahan bantuan makanan itu berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Pejabat Residen Limbang yang sudah mengagihkan bantuan berkenaan secara berperingkat mengikut kawasan.
Pada masa yang sama, bantuan daripada tentera atau bomba untuk penghantaran sumbangan barang makanan ke pedalaman Limbang seperti Long Napir dan Long Rayeh akan diusahakan.
Beliau yang juga ADUN Bukit Kota memberitahu media ketika menyerahkan sumbangan makanan kepada golongan sasar di Kampung Pahlawan di sini semalam.
Hurut sama Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL), Sufian Mohat dan timbalannya, Dahlan Dullah, Pemanca Abu Tinggal dan Penghulu Latip Tujoh.
ADUN Bukit Kota itu berkata Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM16.4 juta untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasar di seluruh negeri ini.
Jelasnya golongan berkenaan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian/Daerah dengan kerjasama agensi kerajaan, pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang relevan.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM200,000 diagihkan untuk setiap kawasan DUN bagi penyerahan sumbangan makanan kepada gologan sasar.
Oleh itu, bantuan daripada ketua kampung dan pengerusi kawasan perumahan di daerah Limbang amat diperlukan untuk menjayakan penghantaran bantuan itu terus kepada golongan sasar.