SANTUBONG: Konsert ‘Rock In The Jungle’ (RITJ) mencipta sejarah sebagai konsert rock pertama di Malaysia yang diadakan di tengah hutan.
Konsert yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak ini menjanjikan malam penuh kehebatan muzik dan nostalgia yang menggema di tengah hutan, dengan menampilkan barisan lagenda rock seperti Wings, XPDC, Edane, Sweet Charity, Candy dan ramai lagi.
Menurut Pengurus Acara RITJ, Zaini Zainuddin, ia adalah kali pertama sebuah konsert rock diadakan dengan tema yang begitu unik dan berbeza.
“Konsert rock di seluruh dunia biasanya diadakan di stadium atau dewan yang tertutup.
“Namun, di Sarawak, konsert rock diadakan di tengah hutan, berlatarbelakangkan pemandangan gunung, pokok, dan keindahan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘Santai Bersama Rockers’ di Restoran Kampung Budaya Sarawak di sini, malam tadi.
Zaini berharap agar konsert ini dapat dijadikan acara tahunan di Sarawak serta berpeluang menampilkan kugiran rock bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan kira-kira 6,000 pengunjung akan hadir sepanjang dua hari konsert yang berlangsung mulai hari ini (28 Disember) hingga esok (29 Disember).
Pada masa sama, lebih 20 gerai jualan termasuk barangan cenderamata, makanan dan minuman, disediakan sepanjang konsert berlangsung.
Tiket konsert tersebut boleh dibeli di pintu masuk utama dengan harga RM188 untuk sehari, manakala pelajar institusi pengajian tinggi boleh menikmati harga istimewa hanya RM50.
Oleh Mohd Neenatul Aizal