KUCHING: Masyarakat luar bandar Sarawak yakin dengan komitmen Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menyediakan bekalan tenaga elektrik yang boleh dipercayai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datu Sharbini Suhaili berkata, walaupun pelanggan di kawasan bandar diberi perkhidmatan dengan baik kerana mendapat bekalan terus daripada loji janakuasa utama dan dapat mengakses pasukan tindak balas teknikal dengan cepat, SEB juga akan memastikan penduduk di pedalaman tidak terputus bekalan tenaga elektrik.
“Kebanyakan pelanggan Sarawak Energy disediakan tenaga elektrik menerusi dua rangkaian penghantaran selari yang disambungkan ke loji kuasa utama seperti Bakun dan Murum.
“Pelanggan luar bandar yang belum disambungkan ke grid utama disampaikan oleh campuran stesen janakuasa terma dan hibrid. Ini memberi khidmat kepada masyarakat yang terletak di dataran tinggi Bario, daerah pedalaman di sepanjang Sungai Rejang dan daerah terpencil di luar Long Lama dan Lawas antara yang lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, SEB menggunakan langkah tegas untuk memastikan kebolehpercayaan bekalan untuk orang Sarawak yang tinggal di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman semasa PKP.
Satu pasukan terdiri 120 orang telah dikerahkan secara bergilir untuk mengawasi operasi stesen janakuasa luar bandar ini serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik dan mekanikal di seluruh Sarawak.
“Pasukan operasi luar bandar kami dan fungsi sokongan mereka sedang berusaha untuk memastikan tidak ada gangguan dari segi logistik seperti bekalan bahan bakar untuk loji termal kami dan juga peralatan dan bahan penyelenggaraan.
“Utiliti ini mempunyai pasukan kakitangan yang teratur yang mengendalikan fungsi kritikal untuk kedua-dua operasi loji janakuasa dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan,” kata Sharbini. Sharbini menegaskan bahawa kesejahteraan dan keselamatan kakitangan Sarawak Energy kekal menjadi keutamaan walaupun tempat kerja yang jauh dan sentiasa dikemaskinikan atas arahan kesihatan daripada pihak berkuasa.