LAWAS: Pasangan suami isteri dari Wilayah Sochi, Rusia yang terkandas di Lawas sejak 16 Mac 2020 turut mendapat agihan bekalan makanan daripada Pusat Khidmat Parlimen Lawas dan Pusat Khidmat PBB Bukit Sari.
Kudriashor Ivan bersama isteri Anna dan anak perempuan mereka Mariana berusia tiga tahun kini tinggal di rumah kebun penduduk di Kampung Pengalih Lawas.
Bantuan sumbangan makanan berupa buah-buahan tempatan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar Malaysia Dato Henry Sum Agong yang turut menyerahkan sumbangan daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Turut hadir Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Setiausaha Pusat Khidmat Parti PBB Bukit Sari Awang@Ibrahim bin Ahmat dan ahli-ahli parti PBB Ba’kelalan dan Bukit Sari.
Ivan yang ditemui mengucapkan berbanyak terima kasih dan memberitahu merasa amat selamat di Lawas.
Beliau telah ditemui oleh pihak Jabatan Imigresen, KKM dan PDRM, namun mahu terus berada di Lawas sehingga keadaan kembali pulih.
Sebelum ini beliau telah melalui sempadan daripada Miri ke Limbang dan akhirnya berada di Lawas pada hari arahan PKP dikeluarkan.
Bagi beliau, sikap ramah dan perihatin penduduk Lawas membuat beliau merasa selamat daripada mengambil risiko balik ke Rusia dalam keadaan wabak di negara Rusia yang lebih teruk.
Ivan dan keluarga dibenarkan tinggal di rumah kebuh buah-buahan salah seorang penduduk kampung secara percuma selepas menolak tawaran dipindah ke Hotel Seri Malaysia Lawas. Henry Sum turut meminta penduduk kampung untuk menjaga keluarga Rusia ini dengan baik dan memastikan keperluan mereka dimaklumkan kepada pihak Pejabat Daerah Lawas.