KUCHING: Seramai 25 orang murid dari Tahun 4 hingga 6 telah menyertai Majlis Khatam al-Quran Peringkat Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Kuching 2, yang diadakan di Dewan KASBA, Kampung Samariang Batu, hari ini.
Bekas Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr. Azhar Ahmad yang juga Penasihat Ahli Lembaga Pengelola SRI Al-Amin Kuching 2 berkata, peluang untuk pengajian al-Quran di Sarawak amat luas.
Katanya, peluang tersebut adalah luas kerana dengan adanya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj Othman Abdul Wahab Tahfiz Model Ulul Albab.
”Jika kita berjumpa dengan pelajar Tingkatan 4 atau 5 di sana, besar kemungkinan mereka adalah seorang hafiz al-Quran.
”Ini menunjukkan betapa istimewanya para pelajar di sekolah berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut di Dewan KASBA, Kampung Samariang Batu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan ibu bapa dan murid-murid untuk terus mengamalkan pembacaan al-Quran di rumah sebagai usaha untuk memperkasakan bacaan al-Quran yang betul dan lancar.
“Hiasilah kehidupan kita dengan al-Quran kerana al-Quran adalah panduan utama dalam kehidupan kita,” tambahnya.
Majlis Khatam al-Quran ini merupakan salah satu Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sekolah dalam usaha meningkatkan kecemerlangan murid-murid dalam bidang Tilawah al-Quran.
Ia bertujuan melahirkan murid-murid yang seimbang sahsiahnya, baik dalam aspek duniawi mahupun ukhrawi, serta membudayakan pembacaan Al-Quran sejak usia muda.
Selain itu, turut diadakan pengumuman keputusan peperiksaan Sistem Pentaksiran Pelajar IKRAM-MUSLEH (SPPIM) bagi murid-murid Tahun 6 SRI Al-Amin, yang telah dilaksanakan pada Oktober lepas.
Peperiksaan ini merupakan satu sistem pentaksiran holistik untuk melahirkan insan rabbani yang bertaqwa dan seimbang, serta memiliki ciri-ciri kepimpinan sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Abang Halil Abang Naili, Pengurus SRI Al-Amin Kuching 2 Zaiton Yusuf, Guru Besar SRI Al-Amin Kuching 2 Sharifah Majenah Wan Salay dan bekas Guru Besar SRI Al-Amin Kuching 2 Noren Alias.
Oleh Rynna Sha’erra