Oleh: Ratna Dewi Asmara
MENURUT segala kehendak orang tua demi menjaga perasaan mereka amatlah payah. Itulah yang dilalui Azwan, anak tunggal Mohd Nor dan Mak Lin. Ayahnya ingin Azwan menjadi pemain biola profesional. Minat seni ayahnya terhadap dunia muzik terlalu mendalam. Malahan, ayahnya menjadikan muzik sebahagian dari hidupnya, oleh sebab itu Azwan dipaksa untuk masuk ke dunia muzik dan menceburi bidang tersebut dengan lebih mendalam lagi.
Namun Azwan menolak sekeras-kerasnya kehendak ayahnya itu. Hobi dan bakatnya hanya tertumpu ke arah bola sepak. Lagi pula, Azwan ingin menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pelajaran memandangkan usianya masih muda.
Retak seribu hati Mohd Nor mendengar ungkapan luahan anaknya yang tidak mahu menurut perintahnya. Mohd Nor lebih rela menghantar Azwan ke sekolah muzik dan tidak menggalakkan Azwan untuk menumpukan perhatian pada pelajaran yang lain. Bagi Mohd Nor, belajar muzik lebih baik berbanding main bola sepak dan pelajaran yang lain.
Azwan duduk bersama-sama menikmati sebungkus nasi lemak hasil tangan Mak Jah jiran depan rumahnya itu. Tiba-tiba, dada Azwan berdegup kencang saat Mohd Nor memandang wajahnya dengan penuh serius. Azwan sangat yakin, Mohd Nor pasti ingin mengatakan sesuatu perkara kepadanya. Azwan menarik nafas sedalam-dalamnya. Lalu merenung semula wajah serius Mohd Nor. Azwan hanya menyuap sesudu nasi lemak ke dalam mulutnya.
“Ayah rasa lebih baik kamu berhenti sahajalah sekolah. Ayah nak hantar kamu ke sekolah seni muzik. Ayah nak kamu jadi pemain biola yang terkenal. Nanti kalau sudah terkenal, kamu dapat membanggakan hati Mak dan Ayah kamu ni!” Ujar Mohd Nor tiba-tiba menghujah kata-kata itu kepada Azwan.
Hati Azwan ibarat hancur lebur tidak ada meninggalkan kesan kepingan langsung. Hanyalah ada parut luka yang meninggalkan luka yang sangat mendalam. Dia sangat kecewa dengan keputusan yang tiba-tiba dihujahkan oleh Mohd Nor.
“Tapi Ayah saya tak lama lagi nak masuk tingkatan lima. Tak akan saya tak ambil Sijil Pelajaran Malaysia. Itu penting Ayah! Masa depan saya juga tu! Kalau Ayah tak setuju saya bermain bola, saya boleh terima. Tapi kalau berhenti sekolah, saya tak terima!” Azwan menolak sekerasnya keputusan Mohd Nor.
Mohd Nor yang tadinya matanya memandang ke arah surat khabar, tiba-tiba kembali menatap serius wajah Azwan yang masih duduk di sebelahnya. Matanya mencerlung tajam.
“Kamu membantah keputusan Ayah?” soal Mohd Nor membulat ekor matanya.
Mak Lin yang duduk di sebelah Azwan cuba untuk menenangkan kembali Mohd Nor yang mula meninggikan suara. Azwan membisu melihat tingkah laku Mohd Nor. Azwan menjadi takut, seram sejuk dan semua perasaan menyelubunginya waktu itu.
“Sudahlah tu! Azwan tak mahu masuk ke sekolah seni muzik, janganlah awak memaksa dia. Nanti tertekan dia nanti!” Ujar Mak Lin mengurut belakang Mohd Nor. Dia menyuruh Azwan untuk pergi ke dalam biliknya.
“Janganlah awak keras hati sangat dekat Azwan. Dia satu-satunya anak tunggal yang kita ada. Kita tiada anak yang lain lagi. Dan saya sokong segala yang Azwan suka, lagi pula memang betul kata-kata dia tu, Abang!” Ujar Mak Lin melemah lembut kata bicaranya bertutur di depan Mohd Nor. Walau bagaimanapun dia tetap menghormati suaminya itu.
“Bukan saya tak suka dia ambil SPM dan bermain bola sepak. Awak tahu kan, saya ada masa silam saya yang saya sangat sulit untuk dilupakan. Saya takut ia terulang semula terjadi dekat anak kita,” Ujar Mohd Nor sambil terketar-ketar mulutnya untuk mengingati semula peristiwa hitam yang terjadi beberapa tahun nan lalu waktu dia remaja berusia 16 tahun dan 17 tahun yang lalu.
Riak wajah Mak Lin bertukar muram. Seluruh suasana hatinya berubah menjadi kasihan kerana melihat suaminya rupanya masih mengingati peristiwa lama. Mohd Nor masih terperangkap di masa silamnya, dan untuk keluar dari kepompong masa lalunya itu memerlukan masa yang lama untuk sembuh kembali. Mak Lin sangat mengerti perasaan Mohd Nor, kerana waktu itu dia juga berada di samping Mohd Nor. Mak Lin teringat kembali peristiwa itu. Pada waktu itu, zaman muda zaman masih mentah untuk mengenali dunia sebenarnya. Zaman hingusan yang hanya mengerti soal keseronokan sehinggakan mengabaikan perkara yang penting.
Waktu itu, Mohd Nor masih mentah, baru berusia 16 tahun. Siapa sangka, Mohd Nor juga mempunyai hobi yang sama seperti Azwan, suka bermain bola sepak. Hampir setiap hari, Mohd Nor akan berlatih bermain bola sepak dan tidak menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap pelajaran. Sehinggakan, hampir setiap tahun pelajaran Mohd Nor akan merosot teruk. Mohd Nor menjadi sasaran kemarahan kedua-dua ibu bapanya. Mereka tidak menggalakkan Mohd Nor untuk selalu bermain bola sepak kerana menyebabkan dia tidak fokus untuk belajar bersungguh-sungguh.
Sikap degil Mohd Nor menyebabkan dia digelar sebagai pelajar gred E. Pelajar yang paling merosot dan tidak pandai. Mohd Nor sangat malu kerana diperlakukan sebegitu rupa oleh sahabat-sahabatnya dan guru di sekolah itu. Tiada sesiapa pun yang mahu berteman dengannya hanya kerana dia seorang pelajar yang tidak pandai dalam pelajaran dan malas untuk berusaha. Tatkala melihat semua menjauhi Mohd Nor, Mak Lin sahajalah yang sudi berteman dan mendengar setiap luahan hati Mohd Nor. Hatinya tersentuh melihat keikhlasan hati Mak Lin sudi bersahabat dengannya walaupun hakikatnya Mak Lin seorang pelajar yang selalu mendapat anugerah pelajar cemerlang.
Semakin hari, Mohd Nor semakin melupakan pelajarannya. Arwah Mak dan Ayah Mohd Nor sangat marah lalu membuang piala johan ke dalam tong sampah yang Mohd Nor telah memenangi perlawanan bola sepak peringkat sekolah. Mohd Nor cuba mempertahankan piala kebanggaan yang telah dicapainya bersama pasukan bola sepaknya lain, namun malangnya ia sudah tidak mampu diselamatkan lagi. Berang arwah Ayah dan Maknya tidak dapat dilawan dan ditentang kerana Mohd Nor tidak mahu dianggap anak durhaka yang melawan kata-kata arwah Ayah dan Maknya. Akhirnya, dia cuba sedaya upaya untuk belajar bersungguh-sungguh memandangkan usianya sudah memasuki 17 tahun. Dan bakal menghadapi SPM. Dan itulah penentu masa depannya.
Hampir setiap malam, Mohd Nor belajar sehingga larut malam. Namun, Mohd Nor tidak dapat menerap masuk segala ilmu yang sudah diturunkan oleh gurunya di sekolah. Sangat sulit untuk memahaminya. Mak Lin yang kasihan melihatnya juga turut membantunya. Namun tetap sahaja Mohd Nor tidak dapat menerap masuk ke dalam otaknya. Terasa tepu otaknya. Mohd Nor tidak dapat menipu dirinya sendiri, walaupun sudah berusaha semampu boleh. Mohd Nor tetap jua mencuba jua untuk belajar bersungguh-sungguh demi SPM. Ternyata rezeki masa depannya tidak menyebelahinya, dia gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Arwah Ayah dan Maknya hampa melihat keputusan Mohd Nor. Pada saat itu, arwah Ayah dan Maknya sangat terkilan rasa dan terasa hancur hati kerana Mohd Nor tidak dapat membanggakan mereka seperti mereka harapkan.
Arwah Ayah Mohd Nor mengalami serangan jantung selepas beberapa hari keputusan SPM diumumkan. Umurnya tidak panjang, arwah Mohd Nor meninggal dunia saat umurnya memasuki usia 56 tahun. Arwah Mak Mohd Nor sangat sedih kehilangan suaminya, sehinggakan tidak mampu untuk bertahan hidup. Badan arwah Mak Mohd Nor menjadi kurus kering, kurang tidur dan kurang makan. Hampir setiap malam, air matanya bergenang mengingati suaminya yang sudah pergi buat selamanya. Akhirnya, arwah Mak Mohd Nor larut dalam kesedihan. Dia meninggal dunia selepas setahun pemergian arwah Ayahnya. Mohd Nor amat menyesali perbuatannya yang tidak pernah mendengar nasihat arwah Ayah dan Maknya untuk berhenti bermain bola sepak. Kehilangan arwah Ayah dan Mak Mohd Nor membuatkan dia terduduk rasa. Sedih diiringi rasa sangat bersalah kerana dialah penyebab arwah Ayah dan Maknya berasa sangat kecewa.
Sejak peristiwa itu, dia berhenti sepenuhnya bermain bola sepak. Malahan, sijil penyertaan termasuklah bola, baju dan kasutnya dibuang ke dalam tong sampah. Dia tidak mahu mengingati dan membenci bola sepak. Itulah kali terakhir, Mohd Nor bermain bola sepak bersama kawan-kawannya lain, sebelum hari kehilangan arwah Ayahnya dulu. Biarlah kenangan yang masih tersisa saat bermain bola sepak dijadikan sebagai ingatan terakhir dalam hatinya. Mohd Nor juga sudah berpegang teguh, dia tidak akan kembali lagi ke dunia sukan. Kerana terlalu lalai dengan sukanlah, dia mengabaikan pelajaran sehinggakan membuatkan perasaan arwah Ayah dan Maknya berasa sangat kecewa.
Mohd Nor menekup wajahnya kerana malu dan berasa sangat terkilan apabila teringat kembali peristiwa pahit menimpa semasa zaman remajanya yang masih mentah. Air matanya bergenang di kelopak matanya. Matanya merah membengkak kerana tidak mampu menahan tangisan yang terlalu mendalam di sudut hati. Sisa kenangan silam itu masih lagi ada bekasnya walaupun sudah bertahun lamanya. Oleh sebab peristiwa itulah, dia tidak mahu Azwan terlalu leka dengan bola sepak dan tidak menggalakkannya untuk mengambil SPM yang hampir menjelang itu. Dia tidak mahu peristiwa lama terulang kembali.
Azwan yang masih berbaring di atas katil masih memikirkan kata-kata Ayahnya pagi tadi. Dia teragak-agak untuk berhenti sekolah demi memenuhi kehendak Ayahnya untuk masuk ke sekolah seni muzik. Pelbagai persoalan dan pertanyaan berlegar-legar di kotak fikiran mengenai keputusannya yang bakal dibuat. Entah mengapa dia berasa sangat berat hati untuk berhenti sekolah. Memandangkan SPM tidak lama lagi. Rasa sayang dan takut mula menguasai. Jika dia tidak mengambil SPM, tentu masa depannya tidak terjamin. Sedangkan hobi bermain bola sepak hanyalah satu hobi yang dilakukannya waktu lapang. Azwan tidak habis akal memikirkan mengapa Ayahnya berbuat begitu? Adakah kerana dia meminati sukan bola sepak? Atau Ayah memang tidak mahu dia berjaya seperti anak-anak yang lain. Azwan terus menerus bertanyakan kepada dirinya sendiri di mana kesilapan yang telah dia lakukan, sehinggakan Mohd Nor membuat demikian.
Azwan bangkit lalu melihat surat tawaran dari jurulatih bola sepaknya Jumaat yang lalu. Dia membaca teliti mengenai surat yang diberikan oleh jurulatihnya. Seharusnya, surat itu hendak diberikan kepada Mohd Nor untuk menandatangani persetujuan untuk menyertai perlawanan antara pasukan. Azwan telah dipilih dalam diam oleh jurulatihnya untuk menyertai perlawanan peringkat kebangsaan.
Memandangkan Azwan mempunyai minat, dan usaha yang gigih membuatkan jurulatihnya sentiasa bangga melihat setiap perkembangan dan pencapaian Azwan bermain bola sepak. Namun demikian, tidaklah Azwan mengabaikan pelajarannya. Azwan sering mendapat gelaran pelajar yang cemerlang dan pelajar yang rajin dalam setiap pelajarannya. Guru-guru di sekolahnya sering memuji kerajinan dan kebijaksanaan Azwan dalam pelajaran walaupun Azwan banyak berlatih sukan bola sepak. Hati Azwan ragu-ragu untuk memberitahu mengenai surat persetujuan tersebut, Azwan sangat takut andai surat kebenaran itu akan mengundang kemarahan Mohd Nor. Luluh jua rasa hatinya melihat perkara itu terjadi dalam satu masa.
Tiba-tiba, matanya mengerling ke arah biola yang tersangkut di tepi dinding biliknya. Biola pernah dimainkannya beberapa yang lalu sewaktu Mohd Nor mengajar Azwan bermain biola. Namun malangnya, alunan geseran biolanya tidak merdu seperti yang dimainkan oleh Mohd Nor. Mohd Nor memaksa Azwan untuk lebih serius bermain biola. Mohd Nor rela membanting tulang demi melihat Azwan memahami setiap yang diajarkannya. Azwan tidak begitu minat untuk mempelajari seni muzik apatah lagi, bermain biola. Bagi Azwan, bermain biola itu sangat membosankan kerana tidak ada latihan yang lasak tidak seperti bermain bola sepak.
Azwan mengeluh panjang saat memandang biola di dinding itu. Dia berasa ingin sedekahkan pemberian biola dari Ayahnya itu kepada sesiapa yang meminati biola. Azwan sangat tidak pantas untuk bermain biola apatah lagi ingin menjadi seorang pemain biola profesional. Impian itu sangat jauh sekali. Azwan ketawa kecil kerana baginya impian Ayahnya terlalu tinggi untuk menjadikan seorang pemain biola terkenal. Azwan bertekad, dia akan serahkan jua surat kebenaran itu kepada Ayahnya. Azwan ingin berkeras untuk mengikuti perlawanan bola sepak itu peringkat kebangsaan. Baginya, alang-alang sudah sampai ke lengan, biarlah sampai ke akhirnya. Dia yang sudah memulainya, jadi dia juga akan mengakhirinya dengan senyuman bukan dengan kehampaan.
Pagi itu dimulakan secerah hari semalam. Azwan sudah bangun awal menunaikan solat subuh. Sepagi lagi, dia sudah menolong maknya menyiapkan sarapan pagi dan sebelum itu, dia menyiram pokok bunga di halaman rumahnya yang mulai layu. Azwan memandang Mohd Nor sedang duduk tenang di kerusi sambil membaca surat khabar seperti biasanya. Riak wajahnya nampak tenang dan damai. Azwan merasakan Mohd Nor pagi itu mempunyai aura semangat yang baik untuk dia memberitahukan soal surat kebenaran perlawanan bola sepak. Azwan merasakan itulah saat yang tepat dan waktu yang baik untuk dia mengatakannya kepada Mohd Nor. Namun, sewaktu Azwan hendak mendekati ke arah Mohd Nor, tiba-tiba panggilan telefonnya berdering. Alangkah terkejutnya, rupanya guru yang mengajar kelas biola Azwan telah menelefon Mohd Nor untuk memberitahu bahawa Azwan tidak hadir ke kelas biola setiap malam Jumaat.
Mohd Nor yang mendengar berita kurang enak itu semakin marah. Sudah sepagi lagi, semangat yang positif sudah bertukar menjadi negatif angkara mendengar berita itu. Kebetulan pula saat itu, Azwan sudah berada di depan matanya. Mohd Nor mencerlung biji matanya tajam tepat memandang ke arah Azwan yang sedang berdiri tegak sambil tangan kanannya memegang satu surat berwarna putih.
“Apa di tanganmu itu, Azwan?” soal Mohd Nor dengan garang sekali.
Dada Azwan menjadi berdebar-debar saat pertanyaan itu diajukan kepadanya. Mohd Nor memandang semula wajah Azwan yang menunduk itu.
“Kenapa kamu tidak datang ke kelas biola? Kamu tahu Ayah sudah bayar mahal gaji guru yang mengajar biola kamu tu? Buat penat Ayah sahaja membayar kelas biola untuk kamu belajar,” Ujar Mohd Nor berkata agak nyaring suaranya. Dia bercekak pinggang memandang Azwan yang masih menunduk.
“Ayah, ini surat…” suara Azwan terketar-ketar untuk mengatakan surat kebenaran itu kepada Mohd Nor memandang dia sedang naik angin.
“Surat apa?”
Azwan menjadi takut dan segala perasaan hampa, risau dan lain-lain menyelubungi setiap benak hatinya itu. Namun dia cuba meyakinkan hatinya agar sentiasa berfikiran positif demi meraih impiannya untuk mengikuti perlawanan antara pasukan.
“Itu surat kebenaran untuk mengikuti perlawanan bola sepak peringkat kebangsaan. Wan terpilih oleh jurulatih dan jurulatih ingin Ayah menandatangani surat itu tanda setuju untuk Wan mengikuti perlawanan itu,” Ujar Azwan berhati-hati dalam tutur katanya berbicara kepada Mohd Nor agar tidak tersilap langkah katanya.
Mohd Nor mendengar dengan riak wajah hampa. Mohd Nor tidak mampu berkata apa-apa saat membaca isi kandungan surat itu yang berisi surat kebenaran untuk mengikuti perlawanan. Belum sempat Mohd Nor memarahi Azwan sekali lagi, tiba-tiba Mohd Nor diserang sakit jantung lalu kemudian jatuh pengsan. Dia rebah di riba Azwan. Azwan panik melihat Mohd Nor yang tiba-tiba jatuh pengsan.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Doktor telah mengesahkan bahawa Mohd Nor diserang penyakit jantung. Dia perlu banyak rehatkan otak dan minda, dan elakkan dari mendengar berita yang tidak elok. Kerana itu akan memburukkan lagi keadaan. Azwan rasa bersalah kerana terlalu mengikutkan kata hatinya, tanpa memikirkan soal perasaan Mohd Nor. Mak Lin turut bersimpati kerana Azwan menjadi mangsa kemarahan Mohd Nor. Namun sebenarnya, Mohd Nor tidaklah panas baran, namun kerana dia tidak mampu melupakan kisah silam menyebabkan emosinya mudah terganggu.
Beberapa hari kemudian, Mohd Nor akhirnya sedarkan diri. Titisan demi titisan air mata Mohd Nor mengalir kerana dia terlalu terbawa-bawakan emosinya sehinggakan Azwan menjadi mangsa. Mohd Nor menyesali kesilapannya kerana memaksa Azwan untuk menjadi seorang pemain biola terkenal. Mohd Nor jua menyesali kesilapannya kerana memaksa Azwan untuk berhenti sekolah dengan tidak mengambil SPM. Sebaliknya, SPM itulah yang sangat penting untuk diambil demi masa depan yang cerah, kerana jika SPM cemerlang, masa depan akan lebih terjamin, memandangkan Azwan seorang pelajar yang cemerlang. Memang diakui, Mohd Nor jua turut bangga kerana Azwan telah membanggakan dia dengan meraih banyak piala serta sijil penghargaan hasil bermain bola sepak. Rupa-rupanya, Azwan mengikut jejak langkah Mohd Nor yang berbakat dalam bermain bola sepak. Mohd Nor menjadi sebak kerana menghalang bakat anaknya itu.
“Tidak mengapa, Ayah. Wan yang bersalah jua kerana tidak mendengar kata-kata Ayah. Maafkan Wan, Ayah,” Ujar Azwan sambil memeluk Mohd Nor dengan erat.
Mak Lin yang berada di sisinya jua turut bergembira melihat Mohd Nor dan Azwan sudah berbaik semula. Hatinya sejuk melihat mereka berdua saling berpelukan. Mak Lin bersyukur kerana akhirnya, Mohd Nor merestui jua hobi bermain bola sepak Azwan dengan setuju untuk membenarkan Azwan mengikuti perlawanan peringkat kebangsaan itu. Hasil sokongan yang kuat dari Mak Lin dan Mohd Nor akhirnya Azwan terpilih lagi untuk mengikuti perlawanan peringkat antarabangsa. Mak Lin dan Mohd Nor bersyukur kerana memiliki anak yang bijak selain membanggakan hati mereka berdua. Mohd Nor akui, tidak semua yang dia inginkan itu menjadi kenyataan. Sebaliknya, ada yang lebih indah lagi dari semua yang dia impikan.