MIRI: Seramai enam warga asing telah ditahan dalam satu operasi mengejut OPS SAPU yang dilancarkan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Pekan Lapok, kira-kira 100 kilometer dari Miri, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, OPS SAPU bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasaan Imigresen (UPI) Miri telah diatur gerak ke lokasi pada lewat malam semalam dan menahan kesemua individu warga asing tersebut yang sedang tidur.
“Individu-individu tersebut yang kesemuanya lelaki telah ditahan kerana melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi masa dan tidak mempunyai pas yang sah untuk tinggal di Malaysia.
“Kesemua kes merupakan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat terus ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia yang berdekatan atau melalui saluran aduan online sedia ada seperti yang tertera di ruangan komen.
Oleh Adum Liu