PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka memuktamadkan kadar pencen di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi golongan pesara dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata buat masa ini perkara tersebut sedang diperhalusi daripada pelbagai aspek dan ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat depan.
“Kita tengah perhalusi, minggu hadapan kita akan bawa balik ke Kabinet dan kita akan putuskan,” katanya dan menyatakan bahawa kemungkinan akan ada berita baik yang diumumkan kelak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) ke-9 di sini semalam.
Dilaporkan kira-kira 900,000 pesara kerajaan masih menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.
Pada 31 Okt, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pesara kerajaan juga akan menerima manfaat daripada SSPA, apabila pencen yang diterima itu diselaraskan.
Beliau berkata pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan, sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.
Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan memberi peluang kedua (seperti pelanjutan tempoh tandatangan) kepada mereka yang tidak menandatangani opsyen SSPA, Shamsul Azri berkata ketika ini kerajaan fokus kepada pelaksanaan fasa pertama SSPA itu.
“Sekarang ini kita fokus kepada yang tanda tangan dulu dan kita lihat kepada hasilnya, kita akan tengok kemudian. Kita selesaikan dahulu pasal pelaksanaan fasa pertama ini,” katanya.
Dilaporkan hanya 0.13 peratus atau 1,400 orang daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA yang tamat pada 30 Nov. – Bernama.