Selama ini mereka adalah komuniti yang dibantu tetapi ini tidak menghalang mereka daripada membantu orang lain. Sesuai dengan namanya Nur Murni yang membawa maksud cahaya yang mulia dan indah, mereka berusahaq menyebarkan cahaya itu kepada masyarakat setempat pula.
Ketika negara bergelut dengan wabak Covid-19 dan sebahagian ahli masyarakat pula dihimpit masalah ekonomi, Pusat Jagaan Nur Murni yang menempatkan anak-anak yatim di No 22, Lot 1365, Lorong Field Force 8E, Taman Green Field, Batu Kawa 93250 Kuching, menawarkan bantuan pula pada insan-insan lain yang memerlukan.
Mereka tampil dengan inisiatif Gerobok Rezeki atau konsep pantri moden kerana bimbangkan kebajikan sesetengah keluarga yang tidak mempunyai makanan ketika musim sukar ini.
Inisiatif murni ini pula mendapat sokongan daripada syarikat Ayam Brand™ dengan matlamat membantu pertubuhan amal dan memperkasakan mereka untuk membantu komuniti setempat yang memerlukan.
Akhirnya wujudlah inisiatif pantri makanan #AyamWithYou oleh Ayam Brand™ dan Pusat Jagaan Nur Murni diberi kepercayaan untuk membantu komuniti setempat dengan menguruskan pantri #AyamWithYou ini.
“Kami bimbangkan kebajikan sesetengah keluarga di sini. Kami sendiri tidaklah mewah, tetapi keperluan mereka lebih mendesak,” kata jurucakap pentadbir Pusat Jagaan Nur Murni.
Menurut beliau, pusat berkenaan ini pernah menyertai kempen Ayam Brand™ Community Care pada masa lalu. Tahun ini, pusat berkenaan sekali lagi menerima bekalan produk makanan mereka untuk tempoh dua bulan dan menyarankan pantri makanan atau gerobok rezeki sebagai satu penyelesaian untuk komuniti.
Justeru mereka menyediakan gerobok kalis cuaca yang dipasang di hadapan rumah kebajikan tersebut demi memudahkan mereka yang berkenaan untuk datang mendapatkan bahan makanan.
“Ia terbuka untuk kegunaan umum 24 jam. Penduduk menghantar maklumat mengenai pantri makanan ini menerusi kumpulan komuniti di media sosial dan aplikasi Whatsapp, manakala anak-anak yang tinggal di rumah kebajikan ini diberi tugas menambah produk Ayam Brand™ tersebut setiap hari,” ujar jurucakap berkenaan.
Pusat kebajikan ini juga menghantar khidmat pesanan ringkas menerusi WhatsApp dan Facebook memberitahu semua penduduk bahawa bahan makanan di dalam pantri tersebut adalah percuma bagi yang memerlukan.
Mereka yang ingin menyumbang makanan pula boleh berbuat demikian dengan dengan menyediakan makanan kering, snek, alat tulis, produk pencuci dan barangan keperluan lain.
“Anak-anak ini gembira diberi tanggungjawab menguruskan pantri makanan ini dan memastikan bekalan sentiasa penuh kerana mereka berpeluang mengamalkan budi pekerti yang mulia dan sikap murah hati,” katanya.
Respons terhadap inisiatif ini amat menggalakkan dengan peruntukan harian produk Ayam Brand™ seperti tuna, kacang panggang, kacang pea, nanas dalam tin dan santan kelapa laku di kalangan penduduk, dan barang keperluan lain ditambah dengan sokongan padu daripada ahli komuniti.
“Kami menemui beberapa item yang tidak disangka-sangka di dalam pantri termasuk sayuran segar, buah kurma, susu bayi, lampin dan biskut Raya! Kami dapat merasakan keakraban #KitaJagaKita itu,” tambahnya.
Sementara itu Pengurus Pemasaran Ayam Brand™, Nathan Deverre, saban tahun pihaknya menyumbang produk kepada komuniti menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat mereka yang telah berlangsung sekian lama.
Pihaknya telah menyumbangkan lebih dua juta makanan berkhasiat kepada pertubuhan amal, seterusnya menyediakan makanan berkhasiat untuk lebih 21,800 orang dari 524 buah organisasi dan NGO amal sejak 12 tahun lalu.
Bagaimanapun tahun ini pihaknya mengubah naratif rakan kongsi kebajikan mereka daripada menjadi penerima bantuan kepada penyumbang dan penderma dalam komuniti masing-masing.
“Komuniti di sini telah menerima konsep pantri makanan ‘sila ambil yang anda perlu sahaja,” katanya.
Justeru beliau menyeru masyarakat menjadi sebahagian daripada usaha murni memberi dan menerima barang keperluan ini dengan sama-sama menyumbang untuk Gerobok Rezeki Nur Murni ini.
Oleh Haini Darani