SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mengekalkan jawatan sebagai Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Lingga sesi 2025 hingga 2027 pada mesyuarat perwakilan di sini, petang semalam.
Mesyuarat Perwakilan Tritahunan Parti PBB Cawangan Lingga yang berlangsung dalam suasana harmoni dan kekeluargaan itu menyaksikan jawatan timbalan ketua cawangan telah dimenangi oleh Suhaidi Los selepas menewaskan Bakthiar Mathan dengan undian 103 berbalas 31.
Bagi jawatan Naib Ketua 1 Pesaka, Jemmy Ngindang diumum sebagai pemenang selepas menewaskan Kunjang Nanang.
Kemenangan itu diumum oleh penyelaras mesyuarat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Pemuda PBB, Kaunselor Kasdi Pandi.
Dalam pada itu, Abdul Rahim Jamil pula telah diberi mandat untuk menerajui Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Lingga apabila dilantik sebagai ketua pergerakan tersebut.
Abdul Rahim, 39, yang merupakan anak jati tempatan dan berasal dari Kampung Tengah Simanggang dipilih selepas menang dalam proses undian yang diadakan semasa mesyuarat berlangsung apabila beliau menang 115 undi menewaskan Awangku Hafizi Awang Azahari dengan 77 undi.
Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBB menyaksikan Daniel Wharff Nanta menang tanpa bertanding.
Jawatan Ketua Wanita PBB pula, Sapiah Drahman juga menang tanpa bertanding, manakala bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita PBB telah dimenangi oleh Malita Kasi selepas memperolehi undian sebanyak 73 undi menewaskan Florence Suyong.
Sementara itu, Dayang Noorazah dalam ucapannya menzahirkan terima kasih kepada ahli-ahli parti kerana memberi beliau mandat untuk menerajui cawangan tersebut pada kali ini.
“Kerjasama dan sokongan padu daripada ahli-ahli parti menyumbang kepada kekuatan pentadbiran parti Cawangan Lingga. Terima kasih dan saya amat menghargai sumbangan yang telah anda berikan sepanjang berkhidmat dengan cawangan Lingga ini.
“Marilah kita berganding bahu memaju dan memantapkan jentera cawangan untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam pada itu Zikry Shukri dipilih sebagai Ketua Sayap Pemuda PBB Cawangan Lingga yang baharu. Beliau dibantu oleh Emely Ann Dennis sebagai timbalan ketua belia.
Dayang Nur Shaheeda dilantik sebagai setiausaha, Mohamad Aqkarul Azib Azmi dilantik sebagai ketua penerangan dan seramai enam individu dilantik sebagai ahli jawatankuasa.
Majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan Tiga Tahun Sekali Parti PBB Cawangan Lingga Sesi 2024-2027 itu telah dirasmikan oleh Penolong Setiausaha Agung Parti PBB Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Oleh Adi Safarman