KUNMING: Beberapa balai cerap di China merakam imej asteroid yang lalu berhampiran bumi dan secara rasmi dinamakan sebagai XA1 2024, sedang jatuh ke planet ini, lapor Xinhua.
Imej itu yang dirakam hasil pemerhatian balai cerap asing, adalah amaran awal ke-11 yang berjaya dirakam mengenai asteroid yang memberi impak apabila jatuh ke bumi, menurut China Science Daily pada Jumaat.
Asteroid itu mempunyai anggaran diameter antara 75 sentimeter dan satu meter. Ia pertama kali ditemukan teleskop Universiti Arizona pada jam 5.55 pagi (UTC) 3 Disember lalu, menurut laporan itu.
China berperanan penting dalam memantau kejadian itu kerana kedudukan geografi strategiknya.
Cawangan Lijiang dari Balai Cerap Yunnan bawah Akademi Sains China (CAS) mengesan asteroid itu antara jam 3.10 hingga 3.30 petang (UTC) 3 Disember lalu menggunakan teleskop 2.4 meter, kata penyelidik di Balai Cerap Lijiang, Zhang Xiliang.
Pada jam 4.15 petang (UTC) 3 Disember lalu, asteroid itu memasuki atmosfera bumi berhampiran timur Siberia dan terbakar, menghasilkan bola api yang terang.
Masa antara pengesanan pertama asteroid dan ia jatuh ke bumi adalah kurang daripada 12 jam.
Dalam masa dua jam selepas ia jatuh, Pusat Planet Kecil Kesatuan Astronomi Antarabangsa menerima sejumlah 64 pemerhatian dari seluruh dunia dan secara rasmi menetapkan asteroid itu sebagai 2024 XA1, menurut laporan itu.
Kuasa pemusnah asteroid berhampiran bumi yang memberi kesan kepada bumi adalah sangat besar, dan amaran awal serta pertahanan terhadap asteroid sedemikian adalah sangat penting untuk keselamatan manusia.
“Bagaimanapun, kebanyakan asteroid berhampiran bumi tidak dikesan sebelum ia memberi impak kepada bumi kerana kapasiti pemerhatian kami yang terhad.
“Pencapaian kali ini akan memberikan sokongan saintifik yang kukuh untuk usaha China dalam amaran awal dan pertahanan terhadap asteroid berhampiran bumi,” kata Zhang.
Balai Cerap Lijiang terletak di kawasan latitud rendah dengan ketinggian lebih 3,200 meter, menjadikannya salah satu tapak pemerhatian astronomi terbaik di China untuk pemerhatian langit malam.
Zhang berkata, pasukan penyelidik di Balai Cerap Lijiang merumuskan pelan pemerhatian berdasarkan maklumat ramalan dan ciri-ciri asteroid itu, enam jam sebelum ia dijangka jatuh ke bumi.
Pasukan itu menggunakan kaedah tunggu dan lihat pada kedudukan yang ditetapkan untuk menjangkakan sifat XA1 2024 yang bergerak pantas, dan berjaya merakam imej berharga dalam masa sejam sebelum ia jatuh ke bumi.
Teleskop 2.4 meter balai cerap itu kini adalah teleskop astronomi optik umum terbesar di Asia Timur dengan keupayaan menjejaki dan memerhati sasaran yang bergerak pantas seperti asteroid berhampiran bumi dengan ketepatan tinggi.
Peningkatan kejayaan ramalan impak asteroid-bumi dikaitkan dengan peningkatan berterusan keupayaan pemantauan dan amaran asteroid berhampiran bumi.
PMO juga merakam imej asteroid itu kira-kira 42 minit sebelum ia jatuh ke bumi.
PMO komited untuk menyelidik kaedah untuk memantau dan meramalkan asteroid berhampiran bumi, dan secara aktif menyokong pembinaan rangkaian pemantauan serta amaran objek berhampiran bumi untuk generasi akan datang. – BERNAMA-XINHUA