KUALA LUMPUR: Tersenarai bagi kategori Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) Sabtu ini, pelakon Trisha Ooi menganggap pencalonan itu sebagai amanah besar dalam kerjaya seninya.
Trisha, 25, yang meraih pencalonan menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem aksi Jana Enduro, menyifatkan pemilihannya itu sebagai penghormatan yang amat bermakna selain membuktikan bakatnya dalam dunia seni tanah air semakin diperakui.
“Untuk menjadi sebahagian daripada industri seni tanah air ini bukanlah perkara mudah. Saya seperti berada di awang-awangan dan sedikit gugup serta (berasa) agak berat di hati.
“Pencalonan ini datang dengan tanggungjawab yang lebih besar. Jadi, saya harap dapat memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada malam perasmian FFM33, baru-baru ini.
Bersyukur kerana terpilih, pemilik nama sebenar Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi ini mengakui tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang. Sebaliknya, beliau lebih berharap agar khalayak dapat menerima lakonannya dalam filem Jana Enduro.
“Menang atau tidak, itu cerita kedua. Kalau menang pun, tanggungjawabnya akan lebih besar. Namun, untuk tercalon dalam kategori ini sudah cukup besar dan saya sangat bersyukur.
“Jana Enduro memberikan pengalaman yang penuh cabaran kerana ini adalah filem pertama saya memegang watak utama dan juga langkah pertama menuju impian saya untuk bergelar pelakon aksi,” katanya.
Selain Trisha, turut tersenarai merebut anugerah kategori itu ialah Harissa Adlynn (The Lord Musang King), Teoh Ying Pei (The King Of Musang King), Zera Hariz (Syif Malam) dan Takahara Suiko (Imaginur).
Anugerah FFM33 menerima 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari yang telah ditayangkan di pawagam tempatan, bermula 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024.
Malam Anugerah FFM33 akan berlangsung pada 9.00 malam, 7 Disember ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media dan boleh ditonton menerusi RTM TV2. – Bernama