SIMANGGANG: Seramai 33 guru dari Bahagian Sri Aman telah menerima Sijil Tauliah Pelantikan Jurulatih Skim Lencana Kecekapan Belia dan Kanak Kanak, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) 2024.
Kesemua guru terbabit menerima sijil tauliah berkenaan menerusi satu majlis yang berlangsung di Pejabat BSMM Daerah Sri Aman di sini, petang semalam.
Pengerusi BSMM Daerah Sri Aman, Isaac Stalin Simon berkata, sijil pentauliahan berkenaan dibahagi kepada dua kategori iaitu Sekolah Menengah (empat sijil modul) dan Sekolah Rendah (tiga sijil modul).
Bagi Sekolah Menengah, katanya, salah satu daripada empat sijil modul pentauliahan terbabit adalah Pertolongan Cemas Asas, resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan defibrilator luaran automatik (AED).
Modul kedua pula, katanya, berkaitan Pendidikan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, manakala modul ketiga dan keempat adalah Rawatan Rumah serta Pendidikan Kesihatan.
“Bagi Sekolah Rendah, tiga modul terbabit adalah Pertolongan Cemas Asas, CPR dan AED, Pendidikan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta Pendidikan Kesihatan.
“Kesemua guru terbabit telah menyertai dua siri kursus bagi tujuan ini bermula dari April ke Jun lepas dengan jumlah penyertaan asal adalah 40 orang sebelum yang layak menerima sijil hanya 33 orang sahaja,” katanya.
Justeru, Isaac berharap agar para guru terbabit terus menyumbang bakti dalam pergerakan BSMM, pembelajaran kadet dan kanak kanak di peringkat sekolah selepas menerima sijil tauliah ini.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Sijil Tauliah Perlantikan Jurulatih Skim Lencana Kecekapan Belia Dan Kanak Kanak BSMM ini telah pun dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Daerah Sri Aman, Azrein Julaihi.
Hadir sama Penolong Pegawai Pendidikan (Sektor Pembangunan Bakat Murid) Daerah Sri Aman, Masaraie Nabari, Timbalan Pengerusi BSMM Daerah Sri Aman, Michael Lee Kok Kian dan Naib Pengerusi 1 BSMM cabang Sri Aman, Paul Lu.
Majlis terbabit menyaksikan berlangsungnya sesi lantikan Pegawai serta Timbalan Pegawai Bertanggungjawab Belia dan lantikan Pegawai serta Timbalan Pegawai Bertanggungjawab Kanak-Kanak.
Oleh Valentine Ngumbang